Lans Koperal dicekup bersama dadah bernilai RM8,600 di Dungun


  • 112
  • Selasa, 14 Mei 2024

Anggota berpangkat Lans Koperal terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bagi siasatan lanjut. — Gambar hiasan

SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal diberkas bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah di Paka, Dungun, Terengganu pada Selasa.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, menerusi hasil serbuan pasukan daripada Cawangan Risikan atau Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, pelbagai jenis dadah dengan anggaran berat 116.4 gram dirampas dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

Beliau berkata, anggota tersebut ditangkap di bawah kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

BACA LAGI: Kali terakhir dilihat naik kereta lelaki misteri, 3 gadis Ranau hilang tanpa jejak

BACA LAGI: Mohon bantuan lelaki misteri, gadis Ranau hilang rupanya cari kerja nak beli telefon pintar

Anggota tersebut ditangkap di bawah kesalahan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — Gambar hiasan

"Anggaran nilai jumlah rampasan adalah sebanyak RM8,600. Antara anggaran berat dadah yang dirampas ialah pil yaba dengan berat 110.87 gram; syabu (5.42 gram) dan heroin (0.11 gram).

"Anggota tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Khairi memaklumkan, anggota polis tersebut ditahan reman selama tujuh hari bermula Selasa.

Ujarnya, siasatan dijalankan oleh pihak narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Mohd Khairi dalam pada itu turut menegaskan, pihaknya memandang serius penglibatan salah guna dadah dan jenayah dalam kalangan pegawai polis terutamanya kontinjen Terengganu.

"Pihak polis Terengganu akan terus komited dalam menjalankan siasatan dengan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang agar penjenayah dapat dihadapkan ke mahkamah," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram