Penduduk Malaysia kini cecah 34 juta, nisbah lelaki lebih ramai berbanding perempuan


  • Massa
  • Selasa, 14 Mei 2024

Rakyat Malaysia kini dianggarkan berjumlah 34 juta pada suku tahun pertama 2024. — Gambar hiasan

RAKYAT Malaysia kini dianggarkan berjumlah 34 juta pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2024), meningkat 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 (ST1 2023) iaitu seramai 33.2 juta penduduk.

Laporan perangkaan demografi bagi ST1 2024 itu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Selasa.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk tersebut merangkumi 30.6 juta (90 peratus) warganegara, manakala 3.4 juta (10 peratus) lagi bukan warganegara.

BACA LAGI: Ramai anak muda idam kereta 'have-have', tak ukur baju di badan sendiri

BACA LAGI: Ramai anak muda idam kereta 'have-have', tak ukur baju di badan sendiri

Menurutnya, penduduk lelaki meningkat kepada 17.8 juta pada ST1 2024 daripada 17.4 juta (ST1 2023) manakala perempuan meningkat kepada 16.1 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama.

"Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 111 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.

Ujar Mohd Uzir, penduduk Melayu menyumbang 57.9 peratus (17.7 juta) daripada jumlah penduduk pada ST1 2024 (ST1 2023: 17.6 juta) manakala penduduk Cina, bumiputera lain dan India masing-masing kekal pada 22.6 peratus, 12.2 peratus dan 6.6 peratus.

Jelasnya, jumlah kelahiran hidup pada ST1 2024 juga merekodkan penurunan sebanyak 9.4 peratus atau 106,386 kelahiran berbanding 117,413 kelahiran pada ST1 2023.

Department of Statistics Malaysia (DOSM) chief statistician Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin during the press conferences in Putrajaya on Friday, January 8,2021. — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Mohd Uzir

"Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,951 kelahiran (18.8 peratus) manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan dengan 323 kelahiran," katanya

Mengulas mengenai angka kematian, beliau memaklumkan, sebanyak 47,964 kematian direkodkan pada ST1 2024.

Berdasarkan jumlah tersebut, Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 7,730 kematian manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 68 kematian.

"Kumpulan umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 34,067 kematian (71 peratus), diikuti 41 hingga 59 tahun (19.8 peratus), 15 hingga 40 tahun (7 peratus) dan 0 hingga 14 tahun (2.2 peratus),” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram