[VIDEO] Gara-gara tepuk 'side mirror' Tesla, penunggang kena himpit sampai tersungkur di Damansara


  • Tular
  • Isnin, 13 Mei 2024

Tangkap layar video memaparkan insiden berkenaan yang berlaku di lebuh raya Damansara Link, Petaling Jaya, Selangor, pada Isnin.

TINDAKAN agresif seorang penunggang motosikal menepuk cermin sisi sebuah kereta yang menukar masuk ke laluannya membawa padah selepas dia dihimpit sehingga terjatuh dalam kejadian di lebuh raya Damansara Link, Petaling Jaya, Selangor, pada Isnin.

Kejadian dipercayai sekitar pukul 8.24 pagi itu melibatkan sebuah motosikal bersama kereta elektrik jenama Tesla.

Menerusi klip berdurasi 18 saat itu, motosikal berkenaan pada awalnya dilihat mencelah di antara kenderaan sebelum bergerak ke lorong kiri jalan.

BACA LAGI: Ini semua wayang, tangkap pagi petang lepas — Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera

BACA LAGI: [VIDEO] Rakan konvoi rakam detik penunggang 'superbike' terpelanting rempuh belakang kereta di lebuh raya

Pada masa sama, kereta terbabit kemudiannya didapati turut memasuki lorong kiri jalan tersebut dari laluan tengah sambil memberikan lampu isyarat.

Situasi itu bagaimanapun dilihat menimbulkan rasa tidak puas hati daripada penunggang terbabit.

Dia kemudiannya dipercayai menepuk cermin sisi kiri kereta terbabit.

Tindakan itu membawa padah selepas pemandu kenderaan berkenaan dilihat segera menghimpitnya sehingga menyebabkannya terpelanting ke arah pengadang kiri jalan sebelum terjatuh.

Di ruangan komen, rata-rata warga maya menyifatkan insiden tersebut boleh dielakkan sekiranya kedua-dua pengguna jalan raya terbabit lebih bijak dalam mengawal emosi masing-masing.

"Dua-dua salah. Motor salah tepuk Tesla. Tesla lagi besar salahnya, boleh akibatkan kematian," kata Mamat.

"Habislah pemandu kereta itu, confirm pemandu itu tak nampak motor itu kat tepi, blindspot. Kemudian kena tepuk pulak. Tak sokong mana-mana, tapi nak tukar lorong, kena pakai tengkuk sikit, tak boleh harap ke cermin sisi semata-mata. Blindspot tak nampak," ujar Ahmad Syahir Azhar.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Suffian Abdullah mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, dalam kejadian tersebut, penunggang motosikal terbabit yang berusia 25 tahun mengalami kecederaa luka di tangan, lutut dan tapak kaki dan sudah mendapatkan rawatan di klinik berdekatan

Ujarnya, pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada kedua-dua pihak terbabit termasuk pemandu kereta terbabit yang merupakan seorang jurujual lelaki berusia 37 tahun dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Suffian berkata kes disiasat di bawah bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan masih diteruskan dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram