[VIDEO] Kegiatan seludup arak di Forest City video lama — Kastam


  • 112
  • Ahad, 12 Mei 2024

Gambar tular aktiviti penyeludupan minuman keras baharu di kedai bebas cukai di Forest City disahkan sebagai kejadian lama.

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menegaskan bahawa video tular yang memaparkan dua individu melakukan aktiviti penyeludupan minuman keras di kedai bebas cukai di Forest City, sebenarnya sebuah video lama.

Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, video tular di media sosial sejak Jumaat itu adalah insiden penyeludupan yang berlaku pada 2021.

"Video lama yang telah tular pada 2021 dan dimuat naik semula bagi mendapat perhatian warganet.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk Sungai Tiang gempar jumpa mayat tanpa identiti, dipercayai mangsa samun

BACA LAGI: 'Takkan harap DBKL saja?', rakyat mahu agensi lain turun padang banteras isu penjaja asing di jalanan

"Keadaan luar kedai bebas cukai dalam video berkenaan masih menggunakan alat pengesan berwarna jingga, sedangkan alat pengesan berkenaan telah ditukar dengan alat baharu berwarna ungu. Ia sekali gus membuktikan ini adalah video lama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau lagi, JKDM komited membendung kegiatan penyeludupan minuman keras di Forest City dengan meletakkan anggota di situ.

Ujarnya, sejak pembukaan dan kewujudan kedai bebas cukai di Forest City dari tahun 2018, JKDM telah ditugaskan untuk berada di pintu keluar masuk kawasan berkenaan.

"Setelah pembangunan pesat dan kediaman mula diduduki di Forest City, JKDM dapati terdapat banyak lorong-lorong tikus atau jalan tidak diiktiraf untuk keluar masuk ke Forest City.

"Langkah penyelesaian dengan kerjasama pihak Forest City telah diambil dengan peningkatan kawalan dengan kawasan berisiko dipagarkan serta jalan keluar masuk hanya melalui kawalan JKDM," katanya lagi.

Beliau menasihatkan orang awam untuk berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan di media sosial dan meminta orang ramai untuk melayari laman sesawang www.customs.gov.my bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan JKDM. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram