INDAH khabar daripada rupa, gambaran sesuai untuk mentafsirkan pendirian sesetengah kelab bola sepak yang rakus berbelanja mendapatkan khidmat bintang import dengan menawarkan gaji ribuan ringgit namun mengetepikan tanggungjawab menjaga kebajikan pemain dan kakitangan.
Berdasarkan laporan Majoriti sebelum ini, rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapati ada majikan dalam kalangan kelab bola sepak yang culas mencarum sekaligus boleh dianggap menganiaya pemain dan kakitangan mereka.
Rekod PERKESO sehingga kini menunjukkan kebanyakan daripada 31 kelab atau persatuan yang bermain dalam Liga Super, Liga Perdana dan saingan Liga A1 Semi Pro tidak mencarum secara teratur kepada agensi keselamatan sosial berkenaan.
BACA LAGI: Red Giants mencarum secara teratur, Faisal Halim layak terima rawatan hingga sembuh — PERKESO
BACA LAGI: Kelab Liga M berisiko didenda RM10,000, penjara jika gagal carum secara teratur — PERKESO
Data yang dikeluarkan PERKESO melibatkan 2,820 pemain atau pekerja tempatan dan 258 pemain atau pekerja asing daripada 31 kelab yang pernah mendaftar dan mencarum dengan organisasi tersebut.
Daripada 31 kelab yang mendaftar dengan PERKESO itu, terdapat beberapa kelab yang tampil menceritakan situasi sebenar dihadapi mereka mengenai kekangan untuk tidak mencarum dengan teratur.
Selain kesulitan yang dialami beberapa kelab, ada juga pasukan wajar menjadi teladan kepada kelab lain kerana sentiasa disiplin dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk menjaga kebajikan pemain dan kakitangan.
Misalnya, pasukan seperti Terengganu FC (TFC) yang membuat langkah bijak mencarum secara berjadual apabila Mohd Sabri Abas selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sendiri memaklumkan skuad Sang Penyu membayar setiap enam bulan.
CEO Terengganu FC, Mohd Sabri Abas (tengah). — Facebook/TFC
"Biasanya kami bayar kepada PERKESO secara berjadual, contohnya untuk enam bulan. Setakat ini, kami tidak pernah dapat surat amaran daripada PERKESO.
"Untuk kelab lain saya tak pasti macam mana pembayaran mereka. Kami memang dah mula dalam dua hingga tiga tahun untuk bayar secara berjadual. Terengganu tiada rekod buruk dengan PERKESO," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Bukan Terengganu sahaja boleh dijadikan teladan kepada pasukan lain, malahan Penang FC juga turut mempunyai rekod yang baik dalam mencarum bayaran kepada PERKESO demi kebajikan pemain dan kakitangan mereka.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew berkata, skuad Harimau Kumbang menjalankan tanggungjawab mencarum setiap bulan kepada PERKESO dan tidak pernah culas sejak Penang FC ditubuhkan pada 2020.
Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew. — Facebook/PenangFC
"Sejak Penang FC ditubuhkan pada 2020, kami tak pernah missed (terlepas) bayaran. Pembiayaan berkenaan adalah untuk pemain import dan pemain tempatan. Setiap bulan jika kami nak bayar gaji pemain sebelum 15 hari bulan, kami akan buat caruman.
"Sejak kebelakangan ini banyak pemain cedera semasa dalam perjalanan ke latihan. Jika ada pemain naik motosikal kemalangan, kami claim kerana ia sebahagian tugasan harian. Kami pun akan dapat bayaran balik bila buat claim. Itu kelebihan untuk Penang.
"PERKESO pun main peranan penting, kadang mereka nampak peningkatan dari claim yang kami buat, mereka akan datang atau beri surat sambil menasihati majikan supaya ambil langkah penting menjaga keselamatan pemain," jelasnya.
Jeffrey berpandangan, semua kelab domestik perlu mencarum tanpa culas kerana pemain-pemain memerlukan jaringan keselamatan seperti PERKESO, malahan ia jelas tanggungjawab sebagai majikan.
Sementara itu, Perak FC pula mengakui ada masanya pasukan berkenaan mengalami sedikit kekangan sehingga memaksa pihak pengurusan The Bos Gaurus (TBG) membuat tindakan untuk membayarnya secara ansurans.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi. — Facebook/PerakFC
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi menjelas bahawa situasi pihak penaja tidak dapat memberi suntikan dana secara teratur yang akan mengekang mereka daripada mencarum dengan berdisplin.
"Caruman dibuat setiap bulan tetapi ada masanya kelab kekurangan cashflow (aliran duit) pada bulan tertentu. Kadang-kadang kalau kita kekurangan cashflow, mungkin kita bayar separuh, kita bayar sikit dulu. Dari segi tertunggak saya tak boleh cakap kerana itu bahagian akaun tetapi tidak berlarutan hingga enam bulan.
"Sekiranya telah mendapat wang daripada penaja, kita bayar penuh (habis) Pembayaran ini bukan sahaja melibatkan PERKESO tetapi juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga lain-lain.
"Kelab-kelab bola sepak ini memang cashflow (aliran wang tunai) akan berkurang lagi-lagi jika musim dah habis kerana faktor penajaan tetapi kami masih perlu bayar gaji, begitu juga dengan PERKESO, KWSP dan sebagainya," jelasnya.
Tegasnya, sehingga kini pihak pengurusan kelab Perak FC tetap tidak mengabaikan tanggungjawab mereka dengan membayar caruman PERKESO dan skuad Seladang juga tidak pernah mendapat amaran daripada organisasi berkenaan.
Bekas jurulatih skuad Ngap Sayot, S. Balachandran. — Stadium Astro
Dalam pada itu, nasib berbeza pula menimpa Sarawak United apabila difahamkan kelab berkenaan tidak pernah membayar caruman pemain dan kakitangan di peringkat kejurulatihan dan pengurusan.
Seperti sedia maklum, Sarawak United kini tidak beraksi di mana-mana kejohanan namun situasi yang diceritakan oleh bekas jurulatih skuad Ngap Sayot, S. Balachandran itu berlaku ketika pasukan berkenaan masih beraksi di peringkat Liga Super.
"Setahu saya, sebelum ini pengurusan tidak bayar caruman PERKESO. Sepanjang saya melatih pasukan tersebut, gaji pun mereka tidak bayar apatah lagi caruman PERKESO.
"Bukan saya sahaja tetapi seluruh pasukan termasuk pemain, KWSP, PERKESO dan cukai pun tak bayar.
"Arwah B. Sathianathan (bekas jurulatih) pun pernah perjuangkan isu gaji dan kebajikan pekerja namun tidak berjaya," luahnya yang kini masih menunggu tunggakan gaji Sarawak selesai.
Berdasarkan isu semasa, caruman kepada PERKESO tidak boleh dipandang enteng oleh majikan kerana ia boleh memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan yang berpunca atau terbit dari pekerjaannya.
Kes simbah asid yang menimpa pemain Selangor FC, Faisal Halim misalnya menunjukkan tahap disiplin Red Giants FC Sdn Bhd dalam mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) menjadi faktor besar pemain negara itu sekaligus layak mendapat perlindungan sosial daripada agensi keselamatan sosial berkenaan.
Walaupun kejadian itu berlaku di luar waktu kerja namun penyerang sayap kebangsaan itu boleh menerima bantuan rawatan awal dan pemulihan kerana majikannya mencarum di bawah Akta 4 PERKESO bagi kedua-dua Skim iaitu Bencana Pekerjaan dan Keilatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram