KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) akan menunggu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung penentuan penyelarasan pencen melibatkan anggota dan pegawai yang bersara sebelum 2013.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, isu tersebut bukan sahaja membabitkan bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi juga bekas hakim dan bekas kakitangan awam.
Menurutnya, ketiga-tiga kumpulan sudah mengemukakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia berhubung perkara berkenaan.
BACA LAGI: Konflik Iran-Israel: MINDEF sedia kerah tentera jamin keselamatan pelajar Malaysia
BACA LAGI: 'Keluar Sekejap atau selama-lamanya?', Ahmad Zahid beri bayangan masa depan KJ bersama Umno
"Ini soal dasar, kalau soal gaji dan pencen, kita tertakluk kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Saman itu terhadap Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera. Tentunya bukan saya seorang, Perdana Menteri pun disaman dalam hal ini.
"Apabila ia membabitkan tindakan mahkamah, (saman) akan dikendalikan Jabatan Peguam Negara, bukannya kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) tahun 2024 kepada 475 veteran dan wakil veteran di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor pada Ahad.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, perbicaraan di Mahkamah Rayuan berhubung isu tersebut akan bermula pada Januari tahun depan.
"Saya minta kerjasama semua, kita tidak mahu membeza-bezakan (penyelarasan pencen) untuk bekas hakim, tentera dan kakitangan awam. Itu adalah benda yang tidak sihat.
"Undang-undang taksiran Mahkamah pun tidak akan berbeza sebab kes sama. Sangat jelas ia tidak membabitkan pencen lepas tahun 2013," jelasnya.
Tidak wujud sebarang isu penyelarasan kepada anggota yang pencen selepas tahun 2013. — Gambar hiasan
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, tidak wujud sebarang isu penyelarasan kepada anggota yang pencen selepas tahun 2013, sebaliknya ia hanya melibatkan anggota yang bersara sebelum 2013.
"Di peringkat tentera, mereka telah pergi ke Mahkamah Tinggi dan berjaya, jadi Pejabat Peguam Negara merayu.
"Di peringkat kakitangan kerajaan, mereka pergi ke semua peringkat, ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Di peringkat hakim, Mahkamah Rayuan pada 7 Mei lalu bersetuju dengan saman yang dibawa bekas hakim.
"Disebabkan itulah kita kena tunggu. Ia (saman itu) bukan melibatkan Kementerian Pertahanan sahaja tetapi banyak pihak terutama Jabatan Peguam Negara dan akan dimuktamadkan di peringkat mahkamah," katanya. — The Star/REMAR NORDIN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram