MEMULAKAN perniagaan bukanlah satu pekerjaan yang mudah, apatah lagi untuk mengekalkannya.
Pastinya percubaan demi percubaan, kegagalan demi kegagalan terpaksa diharungi sebelum seseorang usahawan mencipta kejayaan.
Meskipun berisiko tinggi, semakin ramai anak tempatan yang mula menunjukkan minat untuk menjadikan bidang tersebut sebagai satu bentuk kerjaya yang ideal.
Mungkin atas faktor dunia perniagaan dianggap lebih terjamin berbanding jurusan lain disebabkan keperluan perniagaan akan sentiasa wujud dalam setiap industri.
Umumnya, sektor tersebut menawarkan lebih banyak peluang untuk kemajuan kerjaya kerana ia mempunyai skop pembelajaran dan perkembangan yang tinggi.
Namun berniaga bukan boleh dibuat secara semberono, sebaliknya perlu dilengkapi dengan ilmu.
Mempunyai ilmu keusahawanan sebelum memulakan perniagaan adalah sangat penting.
Anda boleh sentiasa meningkatkan kemahiran dengan mengikuti pelbagai kursus berkaitan atau mencabar diri dengan inisiatif penambahbaikan proses kerja.
Dalam berbisnes, sentiasalah berguru dengan individu yang berkredibiliti dan untuk itu, anda tidak perlu pergi jauh-jauh.
Di Malaysia pun kita memiliki pakar keusahawanan dan pemasaran yang boleh dijadikan sebagai rujukan untuk berjaya dalam bidang ini.
Berikut Majoriti senaraikan antara lima pakar perniagaan yang 'tidak kedekut ilmu' dan sering berkongsi petua kejayaan di media sosial:
BACA LAGI: 'Kalau ada 100 usahawan macam Khairul Aming, lebih 10,000 anak muda takkan tinggalkan Kelantan'
Abdul Basit
BACA LAGI: 'Jangan sembang saja, belajar dulu hasilkan RM1,' nasihat usahawan muda untuk berjaya
1. Abdul Basit Abdul Rahim
Pakar dalam bidang perniagaan itu sering berkongsi tip dan panduan untuk para peniaga khususnya mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan menerusi media sosial Instagramnya, abdbasit_official.
Selain Instagram, Pengerusi Syarikat Byond Group itu turut memanfaatkan medium Facebook dan TikTok sebagai platform penyampaian ilmu kepada usahawan tempatan.
Setiap hari, ada sahaja panduan perniagaan yang hendak diberikan, sama ada dalam bentuk penulisan atau rakaman video.
Siri seminar yang dianjurkan beliau juga banyak menarik perhatian warga maya.
2. Irfan Khairi
Irfan Khairi
Siapa sahaja yang tidak mengenali Irfan Khairi?
Selain berkhidmat sebagai speaker profesional, penulis, personaliti televisyen dan radio, Irfan Khairi juga berjaya melahirkan beribu-ribu usahawan internet yang berjaya di Malaysia.
Beliau juga aktif membuka peluang pembelajaran khas bagi golongan dewasa dan bekerjaya yang menginginkan pembelajaran lanjutan terutamanya dalam bidang keusahawanan internet sejak 2005.
Pengasas OpenEducation di bawah Irfan Khairi Sdn Bhd itu menempa nama di Malaysia dan dikenali sebagai 'jutawan Internet' oleh pihak media bermula 2005.
Jika ingin tahu lebih lanjut mengenai individu ini, bolehlah lawati beliau di Instagram, irfan_khairi.
3. Ainon Mohd
Ainon Mohd
Nama penulis dan pengasas syarikat penerbitan PTS Media Group Sdn Bhd, Ainon Mohd sudah tidak asing lagi dalam dunia percetakan dan perniagaan.
Jika menjengah ke Facebook dan Instagram miliknya, Ainon Mohd , beliau tidak lokek untuk memberikan ilmu dan petua bagaimana mahu menempa kejayaan sebagai seorang usahawan.
Jika anda mahukan tip untuk mengekalkan bisnes dalam zaman ekonomi merudum ini, bolehlah ikuti beliau di media sosialnya.
4. Azizan Osman
Azizan Osman
Azizan Osman bergiat dengan pelbagai aktiviti keusahawanan sepanjang hidup beliau.
Pengasas dan pengerusi Richworks International itu menyediakan pelbagai program peningkatan diri dan latihan keusahawanan bertujuan membantu jutaan peserta daripada pelbagai peringkat umur sejak 2008.
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut menghabiskan kebanyakan masanya untuk melatih dan menjadi mentor kepada usahawan di setiap seminar anjurannya.
Mentor, jurulatih perniagaan dan pakar pemasaran negara itu juga terkenal dengan himpunan mutiara kata yang sering dikongsikan di laman sosialnya, azizanosman_official.
5. Amiruddin Ahmad
Amiruddin Ahmad
Amiruddin Ahmad atau juga dikenali sebagai Uncle Tiger merupakan pakar pemasaran perniagaan dalam dan luar talian yang boleh dijadikan sebagai rujukan.
Bekas jurutera telekomunikasi itu sebelum ini pernah mendapat kecaman kerana mengajar usahawan menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi tujuan pemasaran.
Namun beliau buktikan pemasaran mesej teks berkesan dalam memacu perniagaan.
Jangan lupa ikuti beliau di Facebook Amiruddin Ahmad untuk pelajari teknik-teknik pemasaran dan mempromosikan bisnes anda. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram