SEORANG pembantu Teknologi Maklumat (IT) berkongsi kisah duka apabila suaminya pernah ditimpa musibah ketika bekerja.
Najihah Mohd Mabror, 38, yang ketika itu berada di tempat kerjanya di Shah Alam, Selangor menerima perkhabaran berita daripada adik iparnya bahawa suaminya, Mohd Zulazmie Marjo ditimpa kemalangan tempat kerja di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor.
“Sekitar pukul 3.15 petang, saya terima panggilan daripada adik ipar yang memberitahu bahawa suami ditimpa kemalangan.
"Selepas itu, saya terus bergegas ke sana,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
BACA LAGI: Lebih 11,000 individu pulih sepenuhnya lepas jalani rawatan di pusat rehabilitasi PERKESO
Najihah (kiri) bersama arwah suaminya Mohd Zulazmie, terus tabah menjalani kehidupan demi kedua-dua anaknya yang berusia enam dan lapan tahun.
Bagaimanapun, kegusaran itu sedikit terubat dengan bantuan dihulurkan Skuad PERKESO Prihatin yang hadir membantunya.
"Saya menerima bantuan khairat kematian untuk menguruskan jenazah dan selang beberapa hari kemudian, dimaklumkan bahawa saya juga layak menerima bantuan bulanan.
"Pada hari sama, saya didekati pegawai PERKESO di hospital yang membawa hasrat untuk menyalurkan bantuan sepatutnya," katanya.
Jelasnya, bantuan itu sedikit sebanyak membantunya membesarkan anak-anak yang masih bersekolah.
"Kejadian yang berlaku sudah menjadi ketentuan dan saya perlu berlapang dada.
"Wang peninggalan itu dapatlah saya belanjakan untuk pendidikan anak-anak saya," ujarnya sebak.
Berdasarkan caruman melalui PERKESO, tanggungan Allahyarham Mohd Zulazmie layak menerima Faedah Orang Tanggungan di bawah Skim Keilatan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan (1969).
Di bawah manfaat tersebut, Najihah dan dua anaknya yang disenarai sebagai tanggungan Mohd Zulazmie layak menerima bantuan bulanan sebanyak RM4,950.
Selain itu, Allahyarham di bawah skim yang sama sebagai Orang Berinsurans juga turut menerima Faedah Pengurusan Mayat yang dibayar secara 'one-off' sebanyak RM2,000.
Insiden jatuh tangga tinggi
Dalam pada itu, faedah PERKESO turut tidak terlepas daripada menghulurkan bantuan kepada pencarum yang hilang upaya ketika bekerja.
Berkongsi cerita berkaitan hal itu, Lau Kok Hang, 54, berkata, dia tidak akan pernah dapat melupakan insiden apabila terjatuh dari ketinggian 15 kaki (4.57 meter) di tempat kerja pada April tahun lalu.
Jelasnya, dia mengalami renjatan elektrik selepas tersentuh wayar yang rosak ketika sedang membaiki wayar elektrik di sebuah bengkel kereta di Taman Dagang Jaya Ampang, Selangor.
Kok Hang (kanan) tidak putus harapan walaupun ditimpa kemalangan di tempat kerja.
"Saya memanjat tangga setinggi 4.57m untuk membaiki wayar dan tanpa disedari kena renjatan elektrik yang menyebabkan saya terjatuh lalu pengsan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya.
Kok Hang mengalami kecederaan pada bahagian kepala, tulang belakang serviks dan kaki yang memaksanya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur.
Merupakan pencarum secara sukarela, Kok Hang turut menerima bantuan daripada PERKESO susulan kemalangan tersebut.
Dengan Pelan 1 Perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang dicarumnya, dia menerima cuti sakit selama 382 hari dan Faedah Hilang Upaya Sementara berjumlah RM11,460.
Selepas beberapa bulan mendapatkan rawatan di hospital, Kok Hang disahkan hilang upaya kekal sebanyak 19 peratus.
Melalui Faedah Hilang Upaya Kekal, dia menerima bantuan secara pukal sebanyak RM29,206.80 daripada pihak PERKESO.
Namun begitu, insiden yang menimpa dirinya tidak menghalangnya daripada terus mencari rezeki.
"Saya masih bekerja sebagai juruelektrik dan kejadian tersebut tidak mematahkan semangat saya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram