Lebih 11,000 individu pulih sepenuhnya lepas jalani rawatan di pusat rehabilitasi PERKESO


  • Massa
  • Khamis, 25 Apr 2024

PRP merupakan satu-satunya pusat rehabilitasi di Malaysia dan Asia Tenggara yang mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan latihan vokasional yang holistik. — PERKESO

SERAMAI 11,574 individu dilaporkan sudah pulih sepenuhnya selepas menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi (PRP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

PERKESO memaklumkan, sejak 1 Oktober 2014 hingga 31 Mac lalu, seramai 16,358 individu menerima rawatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi milik agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) itu.

Menurutnya, sejak mula menawarkan rawatan pemulihan di PRP, pusat rehabilitasi satelit dan pusat rehabilitasi rakan strategik PERKESO, dianggarkan lebih 71 peratus bersamaan 11,574 pesakit meliputi pelbagai golongan, iaitu pencarum, suri rumah, pekerja asing dan bukan pencarum berjaya pulih.

"Golongan ini kini berupaya untuk kembali bekerja dan mampu berdikari. Hampir 30 peratus daripada jumlah pesakit yang menjalani rawatan pemulihan adalah dari Lembah Klang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas PERKESO, PRP merupakan satu-satunya pusat rehabilitasi di Malaysia dan Asia Tenggara yang mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan latihan vokasional yang holistik dari segi biopsikososial.

"Ia juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berteknologi tinggi untuk membantu golongan pekerja terbencana agar dapat berdikari, kembali ke masyarakat dan bekerja," ujarnya.

BACA LAGI: Ramai akui ketagih manis, Kempen Tolak Gula PERKESO 'jentik' hati golongan muda

5.

Program Jelajah Sedekad Pusat Rehabilitasi PERKESO dilaksanakan bersempena sedekad penubuhan pusat rehabilitasi tersebut. — PERKESO

BACA LAGI: Ramai akui ketagih manis, Kempen Tolak Gula PERKESO 'jentik' hati golongan muda

Mengulas lanjut tentang Program Jelajah Sedekad Pusat Rehabilitasi PERKESO, kenyataan itu memaklumkan bahawa ia dilaksanakan bersempena sedekad penubuhan pusat rehabilitasi tersebut.

Tambahnya, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat berkaitan peranan PERKESO.

"Ia termasuk dalam menyediakan perlindungan inklusif dan komprehensif sepanjang hayat bermula daripada kelahiran hingga kematian kepada golongan pencarum dan tanggungan mereka demi memastikan tiada yang akan terpinggir termasuk perkhidmatan pemulihan PERKESO merangkumi perkhidmatan rehabilitasi," jelasnya.

5.

Peserta program mengenali pelbagai alatan pemulihan ditawarkan PERKESO dalam sesi demonstrasi. — PERKESO

Dalam siri kedua program yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur, seramai 95 wakil agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan, wakil majikan, wakil pekerja, hospital, pusat perubatan dan pemimpin masyarakat sekitar Lembah Klang serta pegawai-pegawai pemulihan Pejabat PERKESO Kuala Lumpur menyertai program itu.

Peserta program turut berpeluang mengenali pelbagai alatan pemulihan yang ditawarkan PERKESO melalui sesi demonstrasi alatan pemulihan seperi katil pesakit hospital, alat bantu jalan, kerusi roda, lampin pakai buang dewasa, peralatan prostetik dan ortotik dan sebagainya.

Turut hadir dalam siri jelajah, Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr Hafez Hussain; Ketua Cawangan Pemulihan dan Perkhidmatan Perubatan PERKESO, Dr Mohamad Faznin Mohamed Talib dan Pengarah PERKESO Negeri, Kuala Lumpur, Mohd Asri Ngosman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram