Media Singapura bongkar sisi gelap bas ekspres Malaysia, PEMBAWA gesa MOT campur tangan


  • Massa
  • Sabtu, 11 Mei 2024

Fasiliti serta sistem pengendalian syarikat bas ekspres di Malaysia dianggap kurang cermat oleh media Singapura. — Gambar hiasan

MEDIA Singapura baru-baru ini membongkar beberapa kelemahan serta kekurangan sistem keselamatan bas ekspres di Malaysia.

Ia susulan laporan kes kemalangan yang melibatkan hampir sembilan penumpang warga Kota Singa difahamkan berpunca daripada sistem pengendalian kurang cermat oleh syarikat pengusaha bas ekspres tempatan.

CNA menerusi segmen Talking Point melaporkan, hasil semakan di platform tiket bas seperti BusOnlineTicket, Easybook dan redBus mendapati kira-kira 20 peratus bas melakukan perjalanan antara 10 malam dan 6 pagi bagi laluan Singapura ke Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Media Singapura buat laporan khas bongkar pemandu, sistem bas ekspres Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Bas ekspres terbakar, 22 penumpang nyaris terkorban diselamatkan pemandu hero di Serdang

Laporan sama mendedahkan kira-kira dua pertiga daripada kes kemalangan yang dilaporkan pada 2022 hingga 2024 berlaku pada waktu tersebut.

Pengarah Urusan Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA), Laili Ismail, 58, menganggap ia sebagai tamparan besar buat pihaknya susulan dakwaan negatif yang dilemparkan terhadapnya.

Tidak menolak beberapa faktor dibangkitkan dalam laporan tersebut, Laili Ismail menggesa agar pihak kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan (MOT) campur tangan dan tampil membuat pantauan serta penyelarasan sistem fasiliti bas di Malaysia.

2680169

Laili Ismail menggesa agar pihak kementerian campur tangan dan membantu sistem pengendalian bas ekspres di Malaysia untuk menjadi lebih efisien.

"Fasiliti bas ketika ini kebanyakannya masih belum tersusun, ada yang berkerusi berkembar dan ada yang sebuah walhal setiap bas ada jenis dan spesifikasi ditentukan.

"Disebabkan tiada penyelarasan dilakukan, maka ada kerusi yang tiada tali pinggang keselamatan ataupun mungkin sudah usang dek kerana pengusaha masih belum menerima kata putus dari pihak atasan.

"Jika pengubahsuaian dilakukan terus, maka ia akan mengundang kerugian jika tiada arahan ataupun notis dikeluarkan pihak kementerian," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa setiap pengusaha bas telah diberikan latihan dan makluman berkaitan keselamatan memandu khususnya pada waktu malam.

"Namun, ia tidak menjamin daripada berlakunya sebarang kes kemalangan dan laporan media asing itu mungkin sekadar bersifat provokasi semata-mata.

"Kami juga sedang berusaha memperbaiki kekurangan dari segi keselamatan dan ketepatan masa ketika mengambil dan menghantar penumpang, jadi isu itu akan ditangani dari semasa ke semasa dan lebih mudah dengan bantuan pihak berwajib," ujarnya.

Terdahulu, tinjauan dilakukan pengacara program Talking Point, Diana Ser, mendedahkan bahawa terdapat masalah dalam kualiti fasiliti bas ekspres di Malaysia seperti kekurangan tali pinggang yang berfungsi dengan baik.

Katanya, dia terpaksa menukar tempat duduk sebanyak tiga kali untuk mencari tali pinggang keselamatan yang berfungsi dengan baik selain turut mendakwa, terdapat sesetengah pemandu bas memandu melebihi had laju terutamanya pada waktu malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram