Samseng pedang samurai, provokasi peniaga ketam nipah antara 4 kes diberkas lepas ‘sentuh’ penguat kuasa


  • 112
  • Ahad, 12 Mei 2024

Tangkap layar memaparkan anggota penguat kuasa MBPP menjalankan tugas pemeriksaan di Pasar Awam Jelutong ditumbuk seorang lelaki.

JENAYAH melibatkan serangan terhadap anggota penguat kuasa kebelakangan ini kian meningkat melibatkan pelbagai kes dalam kalangan warga tempatan.

Seolah-olah hilang rasa hormat dan cuba mencabar undang-undang negara, anggota penguat kuasa antara golongan yang terkesan dengan situasi terbabit apabila ada yang cedera dipukul dan menerima rawatan serius di hospital.

Terbaharu, dua lelaki direman dua hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan susulan kekecohan membabitkan penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Pasar Awam Jelutong, Pulau Pinang pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga lelaki menyamar polis samun, culik ejen pelaburan Forex di Kuantan

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas polis, pelukis pelan JKR antara Geng Bacin ditangkap terlibat kegiatan samun bersenjata di Melaka

Difahamkan salah seorang daripada kedua-dua lelaki tersebut yang juga penjaja ketam nipah membuat provokasi dan menumbuk penguat kuasa MBPP sehingga menimbulkan kekecohan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid dilaporkan berkata, suspek yang direman berusia 23 dan 35 tahun.

Mengimbau kembali kes jenayah membabitkan serangan terhadap penjawat awam itu, berikut merupakan tiga lagi insiden pernah mencetuskan kekecohan.

shisha

1. Berang shisha dirampas, lelaki bawa pedang mengamuk serang anggota MPKB-BRI

Tiga lelaki bersenjatakan dua bilah parang dan pedang samurai ditahan selepas cuba mencederakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Kota Bharu, Kelantan pada 2017.

Tindakan mereka dipercayai kerana berang selepas anggota penguat kuasa menyita peralatan menghisap shisha mereka.

Suspek turut merosakkan dua kenderaan MPKB-BRI yang digunakan dalam operasi membanteras penjualan shisha.

Kes terbabit disiasat di bawah seksyen Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 427KK, Seksyen 506KK dan Seksyen 6 (1).

kompaun

2. Penguat kuasa diserang semasa keluarkan kompaun kenderaan

Seorang pemandu ditahan selepas didakwa menghalang dan menyerang penguat kuasa yang mengeluarkan kompaun terhadapnya atas kesalahan parkir di Jalan Flora, Taman Flora, Batu Pahat, Johor pada November tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, pihaknya menerima aduan daripada penguat kuasa Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) berhubung kejadian itu.

Anggota terbabit ditolak sehingga terjatuh atas motosikalnya, namun pergaduhan tersebut dileraikan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Kedua-dua pihak mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.

peniaga

3. Peniaga dipenjara akibat bergaduh dengan penguat kuasa MBAS

Seorang peniaga dijatuhi hukuman penjara 15 hari dan denda RM3,500 selepas dituduh melakukan kekerasan jenayah ke atas penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di Alor Setar, Kedah pada Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, Mohd. Amirul Azmir Md. Akhir, 33, didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan Badi’uzzaman Aziz, 43, yang merupakan Pembantu Penguat Kuasa MBAS daripada melakukan tugasnya sehingga menyebabkan pergelutan dengan menendang serta mencampakkan bangku kecil terhadapnya.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif.

Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga dua tahun penjara atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram