LIMA pemandu berdepan nasib malang apabila keretanya dihempap dua batang pokok yang tumbang di Jalan Macalister, George Town, Pulau Pinang pada Sabtu.
Difahamkan ketika kejadian, beberapa pemilik kenderaan bersama keluarga baru sahaja beredar ke restoran yang terletak beberapa meter dari lokasi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Nazril Hisyam Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 10.01 pagi membabitkan pokok tumbang.
BACA LAGI: Insiden pokok tumbang KL, ramai desak DBKL 'kosongkan' pokok tua tengah bandar raya
BACA LAGI: [VIDEO] Insiden pokok tumbang KL: Seorang maut, 17 kenderaan rosak
Katanya, jentera bersama lapan anggota tiba di lokasi 15 minit kemudian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati dua pokok tumbang merentangi jalan yang mana satu daripadanya memasuki kawasan parkir bangunan berhampiran.
“Pokok tumbang itu mengenai lima kenderaan dan pagar di bangunan itu turut mengalami kerosakan,” katanya memetik laporan Buletin TV3 pada Sabtu.
Nazril Hisyam berkata, pihak bomba menggunakan khidmat jentera berat berikutan saiz pokok yang besar.
Katanya, kerja pemotongan dan pembersihan perlu dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan impak kerosakan lebih teruk terhadap kenderaan.
“Kejadian itu tidak membabitkan mangsa dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Operasi pengalihan dan pembersihan turut membabitkan beberapa agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
Pemilik kenderaan, Annie Chua berkata, dia bersyukur kerana kejadian itu berlaku hanya beberapa minit selepas dia keluar dari kenderaan.
“Ketika berada di dalam restoran, saya terdengar bunyi dentuman kuat diikuti dengan jeritan beberapa individu.
“Mujurlah saya dan beberapa pelanggan sudah masuk ke dalam restoran dan nyaris menjadi mangsa,” katanya.
Kejadian itu turut menyebabkan kereta milik Karen Lo jenis Cherry Omoda yang baharu sahaja dibeli dua minggu lalu mengalami kerosakan.
“Berikutan hujan saya berhenti di sini untuk bersarapan di restoran sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat.
“Kereta yang baharu dibeli ini mengalami kerosakan pada cermin,” katanya.
Ekoran kejadian itu, Jalan Macalister kini ditutup untuk tujuan pembersihan pokok tumbang.
Terdahulu, seorang lelaki maut selepas sebuah pokok besar tumbang berdekatan Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur ekoran cuaca ribut yang melanda ibu kota pada petang Selasa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Fatta Mohd Amin dalam kenyataan pada Selasa berkata, insiden terbabit turut menyebabkan sebanyak 17 kenderaan dan landasan monorel terjejas. — The Star/IMRAN HILMY/N.TRISHA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram