KEJADIAN kemalangan sememangnya merupakan sesuatu yang tidak boleh dijangkakan.
Ia boleh berlaku di bila-bila masa sahaja tak kira tempat mahupun masa.
Pada masa sama, kemalangan juga boleh berlaku tanpa mengenal umur sama ada masih muda mahupun sudah menjelang usia senja.
Dalam kebanyakan kes, insiden yang berlaku lazimnya menjadi satu titik perubahan yang cukup berkesan dalam mengubah hidup.
Bagi juruelektrik, Lau Kok Hang, titik itu terjadi ketika baru sahaja memasuki usia emas 50-an apabila dia mengalami kemalangan di tempat kerjanya di bengkel kereta di Taman Dagang Jaya Ampang, Selangor.
Dalam kejadian pada sekitar April 2023, Kok Hang sedang bekerja membaiki wayar elektrik ketika dia terkena renjatan elektrik akibat sentuhan dengan wayar yang rosak.
“Saya memanjat tangga setinggi 15 kaki (lebih 4 meter) untuk membaiki wayar dan tanpa sedar direnjat elektrik. Lalu saya terjatuh dan pengsan sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Akibat kemalangan itu, Kok Hang mengalami kecederaan di kepala, tulang belakang serviks dan kaki sehingga memaksanya mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital KPJ Tawakkal.
BACA LAGI: Pusat rehab PERKESO bertaraf dunia, ini apa yang anda perlu tahu tentang PRPTAR
Kok Hang (kanan) masih tidak putus harapan walaupun selepas mengalami kecederaan hilang upaya kekal akibat kemalangan di tempat kerja.
Lebih memburukkan keadaan, Kok Hang juga didapati hilang upaya kekal sebanyak 19 peratus selepas membuat rujukan kepada doktor beberapa bulan selepas kejadian tersebut.
Menerima khabar tersebut lebih-lebih lagi ketika usia sudah beranjak senja bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani.
Namun, Kok Hang yang mencarum secara sukarela berkata, dia sangat bernasib baik kerana segera menerima bantuan segera daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) susulan kemalangan yang berlaku.
Dengan Pelan 1 Perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang dicarumnya, dia menerima cuti sakit selama 382 hari dan Faedah Hilang Upaya Sementara berjumlah sebanyak RM11,460.
Pada masa sama, melalui Faedah Hilang Upaya Kekal, Kok Hang juga menerima secara pukal bantuan sebanyak RM29,206.80 daripada pihak PERKESO.
Segala bantuan yang diperolehinya itu ternyata memberikannya semangat untuk meneruskan hidup termasuk dengan terus berusaha mencari rezeki.
“Saya masih bekerja sebagai juruelektrik, kejadian tersebut tidak mematahkan semangat saya,” katanya.
Hilang suami ketika anak masih begitu memerlukan
Sementara itu tu bagi seorang pembantu teknologi maklumat (IT), Najihah Mohd Mabror, dia mengalami perubahan cukup besar ekoran kematian suaminya yang terlibat kemalangan di tempat kerja dekat Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, Selangor.
Mengimbas detik apabila dia menerima perkhabaran duka tersebut, wanita berusia 38 tahun itu berkata, dia sedang berada di tempat kerjanya di Shah Alam.
Pada waktu itu, menurut Najihah, dia mendapat daripada adik kepada suaminya, Mohd Zulazmie Marjo mengenai kecelakaan yang berlaku.
“Sekitar pukul 3.15 petang, saya terima panggilan daripada adik ipar yang beritahu suami kemalangan. Lepas itu, saya terus bergegas ke sana,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
BACA LAGI: Bukan semata-mata rawatan, ada lagi 4 'rahsia istimewa' Pusat Rehabilitasi PERKESO tawarkan
Foto Najihah (kiri) bersama arwah suami Mohd Zulazmie, dan kedua-dua anaknya yang masing-masing berusia enam dan lapan tahun.
Dalam kegusaran berdepan peristiwa tersebut, nasib yang dialami Najihah segera mendapat perhatian daripada Skuad PERKESO Prihatin hadir membantu.
Skuad PERKESO Prihatin hadir membawa satu berita yang serba sedikit bantu merawat kedukaan Najihah.
“Pada hari sama, saya didekati pegawai PERKESO di hospital yang membawa hasrat untuk menyalurkan bantuan sepatutnya," katanya.
Najihah berkata, bantuan disalurkan itu sememangnya sedikit sebanyak dapat membantunya membesarkan anak-anaknya yang masih bersekolah.
“Kejadian yang berlaku sudah menjadi ketentuan dan saya perlu berlapang dada. Wang peninggalan itu dapatlah saya belanjakan untuk pendidikan anak-anak saya,” ujarnya dalam keadaan sebak.
Berdasarkan caruman dibuat melalui PERKESO, tanggungan kepada arwah Mohd Zulazmie layak menerima Faedah Orang Tanggungan di bawah Skim Keilatan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan (1969).
Di bawah manfaat tersebut, Najihah dan dua anaknya yang disenarai sebagai tanggungan Zulazmie layak menerima bantuan bulanan sebanyak RM4,950.
Selain daripada bantuan bulanan tersebut, menerusi skim sama, arwah Mohd Zulazmie sebagai Orang Berinsurans juga telah menerima Faedah Pengurusan Mayat yang dibayar secara one-off sebanyak RM2,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram