PERKESO tak ketepi golongan terpinggir, buka lebih banyak ruang pembangunan karier masyarakat


  • Massa
  • Jumaat, 10 Mei 2024

PERKESO membantu golongan terpinggir dari segi penyediaan penempatan pekerjaan swasta kepada OKU, ODP, warga emas dan pesara. — Gambar hiasan

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya melakar kejayaan dengan menyediakan lebih banyak ruang dalam pembangunan karier masyarakat di negara ini.

Statistik yang direkodkan juga menunjukkan antara tahun 2023 hingga 29 Februari lalu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) berjaya melaksanakan 6,475 karnival kerjaya termasuk sesi temu duga harian dan mingguan.

Terbaharu, sambutan Hari Wanita KESUMA dan Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024: Tiada Yang Terpinggir yang berlangsung pada 14 hingga 16 Mac lalu telah dirasmikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

BACA LAGI: Karnival MYFuture Jobs fokus golongan terpinggir jana pendapatan

BACA LAGI: Ramai akui ketagih manis, Kempen Tolak Gula PERKESO 'jentik' hati golongan muda

Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024 mencatatkan kehadiran seramai 1,077 pencari kerja.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Menariknya, karnival tersebut mencatatkan kehadiran seramai 1,077 pencari kerja dengan sebanyak 66 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan atau layak ke peringkat temu duga seterusnya.

"Ini adalah satu pencapaian membanggakan kerana PERKESO membuka lebih banyak ruang dalam pembangunan karier masyarakat di negara ini," katanya menerusi satu kenyataan.

Agensi tersebut turut memaklumkan, setakat 15 Mac tahun ini, seramai 29,535 pencari kerja berjaya mendapat pekerjaan menerusi inisiatif yang dilaksanakan PERKESO di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sejumlah 717 pencari kerja merangkumi warga emas atau pesara, orang kurang upaya (OKU), Orang Di Parol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Penghuni Bebas Lesen (PBL).

"Sementara itu, daripada jumlah pencari kerja yang mendapat pekerjaan bagi tahun 2024, seramai 11,010 merupakan Personel Malaysia Short-term Employment Programme (MySTEP) yang ditempatkan di kementerian dan agensi menerusi integrasi kumpulan sasaran ke dalam sektor awam.

"Seramai 238 majikan menerima insentif kerajaan 2024 dengan penggajian seramai 382 orang warga emas/pesara, OKU, ODP, OBB dan PBL," jelasnya.

MYFutureJobs yang diperkenalkan pada tahun 2020 merupakan perkhidmatan sokongan percuma disediakan kepada pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Berdasarkan Belanjawan 2024, KESUMA melalui PERKESO diamanahkan untuk melaksanakan beberapa inisiatif bagi merancakkan peluang pekerjaan kepada semua pencari kerja menerusi pelbagai inisiatif.

Menurutnya, ia termasuk Program Bina Kerjaya 2.0, Program Peningkatan Kemahiran, Program Advokasi Majikan oleh PERKESO, Penyediaan Pusat Penempatan dan Penerokaan Kerjaya Kebangsaan.

"Inisiatif bagi golongan terpinggir pula dari segi penyediaan penempatan pekerjaan swasta kepada OKU, ODP, warga emas dan pesara.

"Namun begitu, PERKESO terus memastikan semua golongan rentan lain seperti wanita, Orang Asli, graduan dan sebagainya terus mendapat perhatian MYFutureJobs," maklum agensi tersebut.

Dalam perkembangan sama, portal MYFutureJobs yang diperkenalkan pada tahun 2020 merupakan perkhidmatan sokongan percuma disediakan kepada pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

Jelas kenyataan itu, ia dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) yang berupaya membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman, kemahiran dan kompetensi pencari kerja dengan keperluan majikan.

"Selain itu, ia berperanan sebagai infrastruktur pasaran buruh semasa yang turut berfungsi bagi menyediakan maklumat keperluan industri dan profil tenaga kerja semasa serta pencari kerja dapat memperoleh analisis jurang untuk kemahiran sedia ada. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram