Pemandu e-hailing mangsa insiden pokok tumbang terima manfaat PERKESO


  • Bizz
  • Khamis, 09 Mei 2024

Steven Sim (tiga dari kiri) bertemu Abdul Hayyi (tengah) yang mengalami kecederaan akibat insiden pokok tumbang di Kuala Lumpur.

SEORANG pemandu e-hailing yang terlibat dalam insiden pokok tumbang di Kuala Lumpur mendapat bantuan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, merupakan pencarum PERKESO yang mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Abdul Hayyi mengalami kecederaan di beberapa bahagian termasuk kepala ketika dalam perjalanan menjalankan tugasnya menghantar makanan ke Wisma Hong Leong, Kuala Lumpur.

BACA LAGI: [VIDEO] Insiden pokok tumbang KL: Seorang maut, 17 kenderaan rosak

BACA LAGI: Pokok tumbang: Kena sentiasa pantau sebab tumbuhan berubah setiap hari — Pakar

"Abdul Hayyi cedera dalam kejadian semasa dalam perjalanan untuk menghantar penumpang ke Wisma Hong Leong, Jalan Perak, Kuala Lumpur.

"Akibat kejadian itu, beliau mengalami kecederaan pada bahagian kepala, dada termasuk lengan serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan kini sedang berehat di rumah ibu saudaranya di Putrajaya," kata Steven.

Steven berkata demikian selepas melakukan ziarah prihatin terhadap Abdul Hayyi. Selain daripada layak menerima bantuan kerana mencarum bersama PERKESO melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), Abdul Hayyi turut memperoleh sumbangan wakallah dan kotak prihatin.

Abdul Hayyi merupakan seorang pencarum yang aktif dan layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara iaitu cuti sakit dengan kadar RM41.33 per hari serta boleh memohon tuntutan faedah perubatan serta rehabilitasi.

Steven menggalakkan mereka yang bekerja sendiri untuk melakukan caruman bersama-sama PERKESO supaya keselamatan mereka terjaga ketika sedang bekerja.

"Individu bekerja sendiri amat digalakkan untuk mencarum dibawah SKSPS sebagai jaringan keselamatan sosial mereka, berikutan malang yang tidak berbau dan dengan perlindungan ini ia sekurang-kurangnya berupaya memberi sokongan kewangan sekali gus meringankan beban ke atas pencarum atau waris sekiranya ditimpa bencana atau musibah,” ujar Steven. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram