GULA bagaikan 'dadah sintetik' yang membuatkan ramai tidak sedar akan ketagihannya sehingga mengundang kepada pelbagai masalah kesihatan.
Mengambil gula secara berlebihan menjadi antara punca majoriti rakyat Malaysia diserang pelbagai penyakit seperti diabetes, kencing manis, obesiti, tekanan darah tinggi dan banyak lagi.
Lebih parah apabila penyakit diabetes dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjejaskan ramai golongan muda dilaporkan semakin meningkat.
BACA LAGI : 'Lebih sihat dengan PERKESO!', Kempen Tolak Gula tingkat kesedaran ramai tentang CKD
Penyakit diabetes yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat seseorang. — Gambar hiasan
Berdasarkan kajian Pakar Perunding Endokrinologi dari Pusat Perubatan Sunway, Dr Teoh Wei Leng, sebanyak kira-kira tujuh juta rakyat akan menghidap penyakit tersebut menjelang 2025.
Bukan itu sahaja, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) juga mendedahkan, satu daripada lima individu berumur 18 tahun ke atas sudah menghidap penyakit kencing manis.
Perkara itu dikatakan didorong oleh kadar pengambilan gula yang tidak terkawal dalam kehidupan seharian.
Disebabkan itu, pelbagai pihak kini giat memainkan peranan bagi mengawal masalah tersebut daripada terus berlarutan.
Salah satu inisiatif baharu diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah Kempen Tolak Gula yang dilancarkan, baru-baru ini.
BACA LAGI : PERKESO Prihatin jadi platform dekati pencarum
Kempen memberi kesedaran tentang pengambilan gula yang membahayakan kesihatan. — PERKESO
Selain memberi kesedaran tentang bahaya pengambilan gula, PERKESO turut memberi pendedahan terhadap cara mengatasi masalah Penyakit Ginjal Kronik (CKD) di Malaysia.
Selari dengan misi dan visi kempen, orang ramai sangat digalakkan untuk memulakan langkah menuju kehidupan lebih sihat dan positif.
Namun, melalui tinjauan Majoriti, rata-rata masyarakat khususnya golongan muda mengakui sukar untuk meninggalkan seratus peratus gula dalam makanan atau minuman mereka.
Ia sekali gus menjadikan mereka antara golongan yang perlu difokuskan dalam membasmi punca kepada masalah penyakit kronik.
Hakimah antara golongan penggemar makanan dan minuman manis.
Menurut Nur Hakimah Azlan, 24, anggaran pengambilan makanan dan minuman berasaskan gula seminggu adalah sebanyak empat hingga lima kali.
Katanya, perkara itu berlaku kerana dia seorang penggemar manis atau lebih sinonim dengan sweet tooth.
Hakimah bagaimanapun tidak menafikan bahawa usaha PERKESO sedikit sebanyak membuka matanya tentang kepentingan gaya hidup sihat.
"Kempen Tolak Gula bermaklumat dan bermanfaat untuk seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan umur," katanya kepada Majoriti.
Katanya, kempen tersebut boleh dimulakan secara berperingkat seperti mengurangkan pengambilan gula yang sudah sekian lama menjadi trend di negara ini.
Syamimi menyokong usaha PERKESO dalam membina gaya hidup sihat rakyat Malaysia.
Bagi Nur Syamimi Balqis Rosdi, 24, pula, kempen tersebut sememangnya amat baik dan berkesan untuk memberi pendedahan lebih mendalam kepada masyarakat.
Katanya, tindakan melaksanakan kempen seperti itu adalah wajar kerana dapat mula menghentikan sedikit trend manisan yang menggunakan kandungan gula yang tinggi.
Disoal pula tentang PERKESO yang giat mempromosikan kempen itu, Syamimi memujinya sebagai satu pembaharuan berjaya di era teknologi kini untuk memfokuskan tentang isu kesihatan.
"Bagi saya, ia mungkin akan berkesan untuk yang telah mendapat kesedaran melalui maklumat yang diberikan dalam e-newsletter itu," katanya.
Ammravathy antara individu yang mahu kempen tersebut terus berjaya.
Turut sependapat, Ammravathy Gunaselan, 24, juga menyokong usaha PERKESO menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan kempen itu dengan lebih berkesan.
Sebagai seorang pereka grafik, Ammravathy sangat menggalakkan usaha tersebut untuk menarik minat masyarakat sekarang.
Katanya, penyebaran maklumat tentang kempen itu menerusi e-newsletter juga boleh memberi impak positif kepada rakyat Malaysia.
"Memang berkesan, sebab zaman sekarang semua benda di hujung jari. Kempen ini juga secara tak langsung akan membina gaya hidup lebih sihat, tiada lagi habit (tabiat) makan makanan tak sihat," jelasnya.
Faizal tidak terkecuali untuk menyokong kempen PERKESO.
Bagi pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal, 27, dia mengakui dirinya amat sukar meninggalkan pengambilan gula dalam makanannya.
Menurutnya, untuk meninggalkan terus rasa manis gula merupakan langkah paling berat kerana ia akan menghilangkan kenikmatan dan rasa dalam makanan.
"Kalau kita kurangkan boleh, tapi tak ambil langsung agak susah sebab kalau tiada gula, tak nikmat kita makan," katanya,
Menyokong tindakan proaktif PERKESO, Faizal juga sempat memberi cadangan tambahan agar meluaskan lagi kempen berkenaan dengan melibatkan kanak-kanak.
"Kempen ini sangat bagus dan lebih baik juga jika boleh bagi pendedahan kepada kanak-kanak seperti buat aktiviti dengan mereka," cadangnya.
Sementara itu, orang ramai disarankan untuk memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/e-newsletter.html. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram