Manfaat PERKESO turut lindungi pekerja asing, ringankan beban jika ditimpa bencana ketika bekerja


  • Massa
  • Isnin, 06 Mei 2024

PERKESO mengambil pendekatan menawarkan perlindungan secara menyeluruh kepada pekerja asing. — Gambar hiasan/JTK

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) mengambil langkah sama rata dalam menawarkan skim perlindungan termasuk pada pekerja warga asing.

Para majikan diwajibkan untuk memikul tanggungjawab memastikan kebajikan semua pekerja terjamin terutamanya apabila berlaku kemalangan di tempat kerja.

Majikan juga tidak dibebani dengan bayaran tinggi kerana mengikut Skim Bencana Kerja PERKESO di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) mengenakan kadar caruman serendah 1.25 peratus daripada gaji bulanan.

BACA LAGI: Tema 'Wanita Dijulang, Negara Gemilang' jadi aspek perjuangan PERKESO

BACA LAGI: Sediakan payung sebelum hujan, golongan OB diutamakan melalui skim perlindungan PERKESO

Screenshot (1399)

Pekerja asing diberi peluang menerima manfaat daripada PERKESO. — PERKESO

Namun, sejak 1 Januari 2019, PERKESO mengambil alih perlindungan bencana kerja untuk pekerja asing daripada Skim Pampasan Pekerja Asing (SSPA) yang sebelum ini dikawal selia oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Ketua Bahagian Pekerja Asing PERKESO, Hairiri Harun berkata, ia bertujuan melindungi pekerja asing jika berlaku kejadian tidak diingini ketika sedang bekerja.

"Para pekerja asing di negara ini boleh menikmati perlindungan selayaknya, malah keluarga di negara asal juga dapat merasa manfaat," katanya.

Hairiri berkata, mulai 1 Jun 2021, skim sama itu juga diperluaskan kepada pekerja domestik asing.

Jelasnya, jumlah pekerja asing berdaftar dengan skim tersebut mencecah dua juta orang malah mereka mempunyai hak-hak tertentu yang diperuntukkan di bawah undang-undang Malaysia termasuk PERKESO.

300781785_452514526891276_5560948513313304478_n

Keselamatan pekerja asing juga merupakan tanggungjawab pihak majikan. — Gambar hiasan/Facebook

Bagaimanapun, terdapat beberapa syarat kelayakan yang perlu diikut untuk mereka menikmati manfaat berkenaan.

Antaranya adalah mereka yang mempunyai pasport dan pas khas untuk pekerja asing baharu, Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) atau pas kerja yang sah untuk pekerja asing sedia ada.

Menurut testimoni Orang Tanggungan (OT) dan Orang Berinsurans (OB) yang menerima Faedah Orang Tanggungan serta Faedah Hilang Upaya Kekal, Gayatri Devi meluahkan rasa syukur terhadap skim tersebut.

Gayatri merupakan ahli keluarga seorang pekerja asing warganegara India, Prasad Surendra yang meninggal dunia akibat pneumonia dan kegagalan organ selepas dijangkiti wabak Covid-19 ketika bekerja.

"Bantuan kewangan daripada pejabat PERKESO di Malaysia sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga yang kehilangan ketua keluarga.

"Kami telah menerima bayaran suku tahunan daripada PERKESO tepat pada masanya," katanya.

bomba-1-681x511

Pekerja asing boleh menerima manfaat sekiranya terlibat dalam kemalangan ketika bekerja. — Gambar hiasan/bomba

Selain itu, Lorrane A. Duyag yang juga merupakan golongan OT menerima bantuan kewangan, keperluan harian termasuk perbelanjaan makanan selepas kematian ahli keluarganya yang terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa ke tempat kerja.

Bagi pekerja asing dalam golongan OB, Najmul Hussein berasal dari Bangladesh juga menerima manfaat Faedah Hilang Upaya Kekal selepas tangan kirinya putus ketika menggunakan mesin di tempat kerja.

"Terima kasih PERKESO. Saya rasa sangat gembira kerana mampu menanggung keluarga meskipun pergerakan agak terbatas.

"Dengan bantuan kewangan ini, dapat juga saya menghantar wang ke kampung selain menampung keperluan perubatan sendiri," ujarnya.

Sementara itu, pendaftaran skim tersebut boleh dilakukan secara dalam talian melalui portal ASSIST PERKESO atau lengkapkan Borang Pendaftaran Pekerja Asing dan dikemumakan ke pejabat PERKESO berhampiran.

Orang ramai juga boleh memuat turun e-newsletter PERKESO dengan melayari laman web https://www.perkeso.gov.my/enewsletter.html bagi mengetahui perkembangan kempen terkini agensi itu yang menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan pencarum. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram