BAGI sesetengah individu, proses pencarian kerja bukanlah sesuatu pengalaman yang mudah untuk diharungi.
Apatah lagi sekiranya mereka datang daripada latar belakang yang kurang bernasib baik mahupun terpinggir.
Dalam kebanyakan kes, proses tersebut boleh memakan masa hingga berbulan-bulan sehingga meletakkan mereka dalam situasi sukar ekoran ketiadaan pendapatan untuk meneruskan hidup.
Disebabkan itu, dalam suasana pasaran kerja yang mencabar, adalah penting untuk kerajaan menyediakan platform pencarian kerja lebih menyeluruh dan mampu merangkul semua golongan.
Sedar dengan keperluan tersebut, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjalankan program Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024 yang diadakan sempena Sambutan Hari Wanita oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Sesuai dengan temanya pada tahun ini iaitu 'Tiada Yang Terpinggir', acara berkenaan berlangsung pada Mac lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Dalam program tersebut, kesemua pengunjung yang hadir membawa matlamat sama iaitu mencari pekerjaan bersesuaian kelayakan akademik dan kepakaran diri menerusi portal MYFutureJobs yang diusahakan PERKESO.
BACA LAGI: Ramai akui ketagih manis, Kempen Tolak Gula PERKESO 'jentik' hati golongan muda
Statistik menunjukkan antara tahun 2023 hingga 29 Februari lalu, KESUMA menerusi PERKESO berjaya melaksanakan 6,475 karnival kerjaya termasuk sesi temu duga harian dan mingguan.
Direkodkan seramai 1,077 pencari kerja hadir ke karnival tersebut dengan 66 peratus daripada mereka berjaya mendapat pekerjaan atau layak ke peringkat temu duga seterusnya.
Perkembangan itu merupakan satu pencapaian membanggakan buat PERKESO yang kini menggiatkan usahanya bagi membuka lebih banyak ruang dalam pembangunan karier masyarakat di Malaysia.
Tambahan pula statistik menunjukkan antara tahun 2023 hingga 29 Februari lalu, KESUMA menerusi PERKESO berjaya melaksanakan 6,475 karnival kerjaya termasuk sesi temu duga harian dan mingguan.
Portal MYFutureJobs yang diperkenalkan pada 2020 merupakan platform perkhidmatan sokongan percuma yang disediakan buat pencari kerja mendapatkan peluang pekerjaan.
Dipacu dengan teknologi kecerdasan buatan, ia berupaya membuat padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan akademik, pengalaman, kemahiran dan kompetensi pencari kerja dengan keperluan majikan.
BACA LAGI: Lebih 3.5 juta orang dewasa tidak sedar hidap pradiabetes, kerajaan galak buat saringan awal
Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs PERKESO 2024 pada Mac lalu menyaksikan seramai 1,077 pencari kerja hadir dengan 66 peratus daripadanya berjaya mendapat pekerjaan atau layak ke peringkat temu duga seterusnya.
Selain itu, MYFutureJobs turut berperanan sebagai infrastruktur pasaran buruh semasa yang berfungsi menyediakan maklumat keperluan industri dan profil tenaga kerja semasa.
Ciri itu membolehkan pencari kerja memperoleh analisis mengenai jurang untuk kemahiran sedia ada.
Berdasarkan Belanjawan 2024, KESUMA melalui PERKESO diamanahkan melaksanakan beberapa inisiatif bagi merancakkan peluang pekerjaan kepada semua pencari kerja.
Ia dijalankan menerusi pelbagai inisiatif seperti Program Bina Kerjaya 2.0, Program Peningkatan Kemahiran, Program Advokasi Majikan, Penyediaan Pusat Penempatan dan Penerokaan Kerjaya Kebangsaan.
Khusus untuk golongan terpinggir, PERKESO turut memberikan bantuan daripada segi penyediaan penempatan pekerjaan swasta kepada Orang Kelainan Upaya (OKU), Orang Diparol (ODP), warga emas dan pesara.
Pada masa sama, PERKESO juga terus memastikan semua golongan rentan lain antaranya wanita, Orang Asli dan graduan terus mendapat perhatian di platform MYFutureJobs. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram