Keputusan SPM kekal umum 27 Mei ini — Fadhlina


  • Massa
  • Jumaat, 10 Mei 2024

Keputusan SPM 2023 kekal diumumkan pada 27 Mei depan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 kekal diumumkan pada 27 Mei depan, maklum Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, beliau menerima gesaan daripada banyak pihak yang meminta agar tarikh keputusan SPM 2023 diubah ke tarikh lain bagi mengelakkan waktu cuti sekolah.

Menurutnya, KPM mempunyai pandangan yang sama dan sejajar dengan banyak pihak perihal kebajikan serta kesejahteraan guru.

BACA LAGI : KPM, KPKT perlu kerjasama atasi masalah sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negara — NUTP

BACA LAGI : Tukar tarikh umum keputusan SPM ke 23 Mei demi mudahkan guru — NUTP

"KPM juga mendengar pandangan banyak pihak berhubung isu ini dan telah mempertimbangkan keputusan yang terbaik untuk kepentingan semua.

"Kementerian mengekalkan tarikh pengeluaran keputusan SPM 2023 seperti yang terjadual pada 27 Mei 2024.

"Guru-guru (masih) boleh terus menjalankan aktiviti yang dirancang semasa musim cuti sekolah ini," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Jelas Fadhlina, KPM khasnya di bawah kelolaan Lembaga Peperiksaan memerlukan masa yang cukup untuk memproses keputusan dengan teliti dan tepat.

"Dalam masa sama, ia turut mengambil kira perkara lain termasuk tarikh permohonan dan kemaskini Unit Pusat Universiti (UPU) dan lain-lain bagi tujuan kemasukan calon lepasan SPM pada peringkat lebih tinggi," katanya lagi.

Education Minister Fadhlina Sidek with the student when visiting the first day of the Sijil Perperiksaan Malaysia (SPM) at SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor . — MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Fadhlina berkata, KPM mendengar semua pandangan yang dikemukakan pelbagai pihak.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, keputusan SPM boleh diakses secara dalam talian menerusi laman web myresultspm.moe.gov.my atau menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Ujarnya, bagi calon yang tiada akses, mereka juga boleh menyemak keputusan di mana-mana sekolah berdekatan.

"Pihak sekolah mempunyai tempoh masa yang panjang untuk merancang dan menyelaras mekanisme pengurusan serta pentadbiran tugas berkaitan pengeluaran keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023.

"Oleh itu, pengeluaran keputusan SPM 2023 tidak akan menjejaskan perancangan awal cuti dan perjalanan yang dibuat guru.

"Majlis sambutan meraikan keputusan sekiranya ada, maka tidak perlu dilakukan pada minggu tersebut.

"Ia boleh dilaksanakan apabila sekolah kembali dibuka. Pentadbir sekolah diminta memastikan guru yang membuat perancangan cuti atau perjalanan tidak terganggu," jelas Fadhlina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram