Tukar tarikh umum keputusan SPM ke 23 Mei demi mudahkan guru — NUTP


  • Massa
  • Khamis, 09 Mei 2024

KPM memaklumkan keputusan peperiksaan SPM 2023 akan diumumkan pada 27 Mei ini dan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM dari sekolah masing-masing bermula pukul 10 pagi. — Gambar hiasan

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pendidikan (KPM) menukar tarikh pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2023 lebih awal bagi memudahkan golongan pendidik.

Setiausaha Agung Kesatuan (NUTP), Fouzi Singon berkata, setelah mendengar keluhan daripada warga pendidik, pihaknya memohon agar keputusan SPM Tahun 2023 tersebut dapat dikeluarkan lebih awal iaitu pada 23 Mei 2024.

"Rata-rata guru yang menghubungi kami memberitahu mereka telah membuat perancangan awal sempena cuti persekolahan yang bermula pada 25 Mei 2024.

BACA LAGI : KPM, KPKT perlu kerjasama atasi masalah sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negara — NUTP

BACA LAGI : Kelas terapung bukan tak okey tapi tengok kesesuaian fasiliti elak mudaratkan murid — KGMMB

"Jika mengikut kenyataan media KPM di mana keputusan yang akan dikeluarkan pada 27 Mei tersebut dan kebanyakan guru-guru telah berada di kampung halaman masing-masing.

"Selain itu, ada juga guru-guru merancang percutian bersama keluarga masing-masing.

"Justeru itu, NUTP amat berharap pihak KPM dapat membuat pertimbangan semula agar keputusan SPM dapat dibuat sebelum cuti persekolahan bermula," katanya ketika dihubungi Majoriti.

2670107

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon

Menurut Fouzi lagi, tarikh tersebut dipilih memandangkan ia hari yang sesuai sebelum semua sekolah bercuti.

"Kita tak boleh lewatkan sangat tarikh keputusan itu sebab kita pun tak nak ibu bapa atau penjaga tertunggu-tunggu keputusan peperiksaan anak masing-masing.

"Jadi kita cuba awalkan tarikh itu pada 23 Mei, hari Khamis," katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan keputusan peperiksaan SPM 2023 akan diumumkan pada 27 Mei ini dan calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan SPM dari sekolah masing-masing bermula pukul 10 pagi.

Slip keputusan akan dihantar melalui pos bagi calon persendirian atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan.

Calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan melalui kaedah secara dalam talian menerusi pautan myresultspm.moe.gov.my. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram