SEBUT sahaja roti canai, anda pasti membayangkan keenakan dan kerangupannya yang menjadi antara menu sarapan pagi pilihan rakyat Malaysia.
Hidangan yang kebiasaannya dinikmati sebagai pembuka hari itu digemari semua lapisan rakyat di Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.
Jangan tidak tahu, roti canai juga pernah diiktiraf sebagai makanan kedua terbaik di dunia oleh TasteAtlas, melalui 100 Hidangan Terbaik dalam Anugerah Dunia 23/24.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Berpartner' dalam bisnes tidak akan bertahan lama, jika anda jenis tidak mahu kalah
BACA LAGI: Tak kedekut ilmu bisnes, ikut rapat 5 anak muda, otai usahawan jika mahu sukses berniaga
Bagaimana pula jika hidangan ikonik itu diterjemahkan ke dalam bentuk yang lebih moden, tetapi masih mengekalkan cita rasa asli Malaysia?
Jika Amerika Syarikat (AS) terkenal dengan Subway, isian yang dibalut dengan aneka pilihan roti, Malaysia juga ada Rollti, iaitu jenama lokal yang dikenali dengan tarikan inovatif roti canai.
Selepas dua cawangan dibuka sebelum ini, kini Rollti mampu berbangga dengan pembukaan cawangan ketiganya yang berlokasi di Pavilion Elite, Kuala Lumpur.
Pendekatan inovatif Rollti terhadap kulinari termasuk sistem pembuatan roti canai automatik dan stesen minuman menyumbang pada kejayaan mereka.
Ia sekali gus meletakkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan jenama itu dan cita-citanya untuk menjadi rangkaian makan kasual pantas terkemuka di negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Rollti, Keith Loh berkata, Rollti bermula dengan visi untuk mencipta semula hidangan roti canai.
Menurutnya, selepas sambutan memberangsangkan di dua cawangan masing-masing di Starling Mall, Damansara dan Nu Sentral, Kuala Lumpur, pihak pengurusan nekad untuk mengambil inisiatif lebih ke hadapan.
Amber (kiri) bergambar bersama Keith di hadapan lokasi cawangan ketiga Rollti di Pavilion Elite, Kuala Lumpur pada Jumaat.
"Walaupun cawangan di Pavilion Elite baru sebulan beroperasi, kami sangat bangga dengan sokongan yang diterima bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia, malah pelancong luar turut mengakui keenakannya.
"Roti canai ialah makanan kegemaran rakyat Malaysia, tapi mungkin hidangan dalam bentuk bungkusan ramai tidak pernah cuba, sesuatu yang agak berbeza untuk mereka," katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas pelancaran cawangan ketiga Rollti di Pavilion Elite, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Turut hadir memeriahkan suasana, duta jenama tersebut yang juga selebriti terkemuka, Amber Chia; Pengarah Rollti, Frederick Chan dan Karyn Ong; dan Pengarah Kanan, Runcit dan Peneraju Pavilion Kuala Lumpur, Lovell Ho.
Pelanggan Rollti berpeluang memenangi hadiah daripada Wheel of Fortune dengan perbelanjaan minimum RM25.
Dalam pada itu kongsi Keith, syarikat tersebut akan menghasilkan menu baharu setiap dua bulan bagi menambah variasi dalam menu mereka.
Ujarnya, aneka sajian merangkumi daging, ayam, kambing, makanan laut dan sebagainya pasti berupaya menambat selera rakyat Malaysia yang menginginkan kelainan dalam setiap suapan.
Bersempena pelancaran cawangan ketiga tersebut, Rollti berbesar hati mengadakan promosi beli satu percuma satu dan pelanggan juga berpeluang memenangi hadiah daripada Wheel of Fortune dengan perbelanjaan minimum RM25.
Promosi bermula 10 hingga 31 Mei ini, tertakluk terma dan syarat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram