BANK Negara Malaysia (BNM) dalam langkah mengejutnya menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) kepada tiga peratus, iaitu kenaikan pertama sejak November 2022.
Bank pusat itu menaikkan kadar pinjaman penanda aras sebanyak 100bps pada tahun lepas.
Tinjauan Reuters terhadap pandangan 25 ahli ekonomi sebelum ini menjangkakan BNM akan mengekalkan OPRnya pada 2.75 peratus untuk mesyuarat ketiga berturut-turut.
Bank Negara berkata, kadar tertinggi dan terendah koridor OPR juga masing-masing meningkat kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
Bank pusat itu berkata, ekonomi global terus didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh, dan pemulihan ekonomi China yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Namun begitu, ekonomi global terus dibelenggu oleh tekanan kos yang tinggi dan kadar faedah lebih tinggi.
“Inflasi utama terus sederhana, tetapi inflasi teras kekal melebihi purata pernah dicatatkan sebleum ini. Bagi kebanyakan bank pusat, pendirian dasar monetari berkemungkinan kekal ketat,” katanya.
Bank pusat itu berkata prospek pertumbuhan kekal tertakluk kepada risiko penurunan, terutamanya daripada peningkatan ketegangan geopolitik, keluaran inflasi lebih tinggi daripada jangkaan, dan pengetatan mendadak dalam keadaan pasaran kewangan termasuk ekoran tekanan selanjutnya dalam sektor perbankan.
“Bagi ekonomi Malaysia, perkembangan terkini menjurus kepada pertummbuhan selanjutnya dalam aktiviti ekonomi pada suku pertama 2023 selepas prestasi kukuh pada 2022.
“Walaupun eksport dijangka sederhana, pertumbuhan pada 2023 akan dipacu oleh permintaan dalam negeri. Perbelanjaan isi rumah kekal berdaya tahan, disokong oleh keadaan pasaran buruh yang lebih baik kerana pengangguran terus menurun ke tahap pra-pandemik,” katanya.
Menurut kenyataan, keadaan kewangan domestik juga kekal kondusif untuk pengantaraan kewangan, tanpa tanda-tanda pengetatan berlebihan yang menjejaskan aktiviti penggunaan dan pelaburan manakala risiko kepada prospek pertumbuhan dalam negeri secara relatifnya seimbang.
“Risiko pertumbuhan berpunca daripada faktor domestik seperti aktiviti pelancongan lebih kukuh daripada jangkaan dan pelaksanaan projek termasuk daripada Bajet 2023 dibentangkan semula.
"Manakala risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan pula berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global lebih tidak menentu. ,” kata Bank Negara.
"Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023, berpurata antara 2.8 peratus hingga 3.8 peratus," katanya.
“Kawalan harga sedia ada dan subsidi bahan api akan terus sebahagiannya membendung tekanan terhadap inflasi.
Imbangan risiko terhadap tinjauan inflasi condong kepada peningkatan dan kekal tertakluk kepada sebarang perubahan dasar domestik termasuk subsidi dan kawalan harga, perkembangan pasaran kewangan, serta harga komoditi global,” katanya.
Dengan prospek pertumbuhan dalam negeri yang kekal berdaya tahan, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menilai bahawa kini adalah masa yang tepat untuk terus mengembalikan tahap akomodasi monetari ke paras yang wajar.
Susulan itu, MPC telah mengakhiri rangsangan monetari yang bertujuan untuk menangani krisis COVID-19 bagi menggalakkan pemulihan ekonomi.
"Susulan kekukuhan ekonomi Malaysia yang berterusan, MPC juga mengakui perlunya pendirian dasar monetari yang wajar bagi mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan," katanya.
"Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal agak akomodatif dan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.
"MPC akan terus memastikan pendirian dasar monetari kekal konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri, ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram