Google terbit data tidak tepat kali kedua, BNM nafi kadar pertukaran ringgit 4.98 berbanding dolar AS


  • Bizz
  • Sabtu, 16 Mac 2024

Kadar pertukaran ringgit yang tular di media sosial sejak Jumaat dinafikan oleh BNM.

BANK Negara Malaysia (BNM) menegaskan, data berkenaan kadar pertukaran ringgit sebanyak 4.98 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) disebarkan di media sosial adalah tidak tepat.

BNM berkata, Google salah menerbitkan maklumat berkenaan pada Jumaat dan ia tidak mencerminkan dagangan sebenar.

Katanya, kadar pertukaran USD dan MYR berada pada 4.7015 pada pukul 9 pagi Jumaat manakala 4.7045 pada pukul 5 petang.

BACA LAGI: Isu guru 'gila konten' bukan saja buka aib pelajar tapi turut undang risiko jenayah, CMCF sokong cadangan NUTP ketat peraturan

Kadar intrahari juga diaktakan tinggi sebanyak 4.7075 dalam pasaran antara bank tempatan bagi ringgit, seperti yang diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

"Sepanjang dua minggu yang lalu (1 Mac lalu hingga Jumaat), nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding dengan dolar AS.

"Insiden ini merupakan kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran ringgit yang tidak tepat pada 2024," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Justeru, BNM berkata, pihaknya telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari lalu.

Susulan insiden salah lapor yang kedua itu, BNM akan menghubungi Google sekali lagi untuk mendapatkan penjelasan tentang punca berlakunya pelaporan yang tidak tepat berlaku.

"Langkah-langkah pembetulan yang dibuat memandangkan isu yang berulang ini telah menjejaskan Malaysia dan banyak negara lain sejak beberapa bulan yang lalu," tambahnya.

Sementara itu, BNM menasihatkan orang ramai agar merujuk data rasmi dan mengelak daripada menggunakan, menyebarkan atau membuat spekulasi berhubung dengan sumber yang tidak disahkan sebagai rujukan bagi ringgit. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram