Helikopter terlibat nahas TLDM selamat untuk terbang — Laporan siasatan


  • Primer
  • Khamis, 09 Mei 2024

Insiden dua buah helikopter terhempas masih meninggalkan kesan mendalam terhadap orang ramai.

DUA helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam insiden perlanggaran di udara di Lumut, Perak pada bulan lalu didapati selamat untuk terbang ketika kejadian, menurut laporan awal tragedi itu.

Menerusi siasatan dijalankan, Tentera Laut berkata, penyelenggaraan kedua-dua helikopter terbabit adalah mengikut prosedur dan rutin ditetapkan Pengeluar Peralatan Asal (OEM).

"Helikopter AW139 HOM mempunyai kotak hitam manakala Fennec tidak dilengkapi dengan alat itu. Analisis data daripada Perakam Data Penerbangan Pelbagai Guna diterima pada 3 Mei dan sedang dianalisis lebih lanjut oleh Lembaga Penyiasatan," menurut Tentera Laut.

BACA LAGI: Pokok tumbang: Kena sentiasa pantau sebab tumbuhan berubah setiap hari — Pakar

BACA LAGI: Keputusan SPM diumum 27 Mei

Dalam satu kenyataan pada Khamis, ia menambah semua kru udara berada pada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat (fit to fly) dan tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Lembaga Penyiasatan terdiri daripada sembilan pegawai TLDM yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan udara dan penerbangan.

"Pasukan ini juga menerima bantuan daripada Direktorat Jenderal Teknikal Udara (DGTA) Tentera Udara Diraja Malaysia dan pegawai perubatan tentera," kata Tentera Laut.

Laporan akhir dijangka selesai pada 29 Mei.

Pada 23 April lalu, dua helikopter Tentera Laut jenis AgustaWestland AW-139 dan Eurocopter AS555SN Fennec berlanggar semasa menjalani rutin latihan untuk sambutan Hari Tentera Laut ke-90.

AW139 yang membawa tujuh anak kapal itu terhempas di tangga stadium TLDM manakala helikopter Fennec bersama tiga anak kapal merempuh kolam renang di kompleks sukan berkenaan. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram