Indeks kebebasan media negara jatuh bukan disebabkan kementerian — Fahmi Fadzil


  • Primer
  • Isnin, 06 Mei 2024

Fahmi Fadzil mengulas lanjut berhubung penurunan kedudukan Malaysia yang jatuh 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 baru-baru ini.

KEDUDUKAN Malaysia jatuh 34 anak tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 adalah bukan disebabkan pihak kementerian semata- mata.

Menterinya, Fahmi Fadzil menegaskan bahawa prestasi itu turut disumbangkan beberapa akta yang berada di bawah kementerian berbeza dan pendirian Malaysia terhadap beberapa isu semasa.

"Sebagai contoh isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kita tahu pendirian Malaysia mengenai isu tersebut dan kesesuaiannya beberapa perkara dalam acuan sama ada ASEAN mahupun ketimuran (adat timur).

"Jadi saya rasa kita ambil maklum dan saya mengalu-alukan kesediaan pihak Reporters Without Borders (RSF) yang mereka telah memuat naik di platform X," katanya menurut laporan media.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2024 di ibu negara, pada Isnin.

BACA LAGI: Indeks kebebasan media Malaysia jatuh, Fahmi Fadzil berlapang dada

BACA LAGI: Kerajaan tidak berhasrat mahu tutup platform media sosial — Fahmi Fadzil

msg-468649021-50052

Kenyataan yang dimuat naik Fahmi dalam laman X.

Terdahulu, RSF melaporkan Malaysia jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.

Kedudukan Malaysia menurun 34 anak tangga dengan mencatat 52.07 mata berbanding tahun sebelumnya iaitu 62.83 mata.

Bagi negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan kedua dipintas oleh Thailand yang berada pada tangga ke-87 diikuti Indonesia (111), Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan beliau adalah Menteri Komunikasi pertama yang akan bersemuka dengan RSF bagi mendengar dan meneliti cadangan yang akan dikemukan pihak terbabit.

“Saya harap nanti RSF boleh maklumkan pada kementerian apa langkah- langkah yang mereka cadangkan dan kita tidak semestinya menerima bulat- bulat cadangan itu. Mungkin untuk kita mengkaji dengan mendalam serta lihat kesesuaiannya untuk Malaysia.

“Sebagai contoh, ada seorang ahli Parlimen menyatakan kedudukan Malaysia lebih buruk daripada Israel, Malaysia pada kedudukan 107 dan Israel di 101 lebih kurang tapi berbeza dengan Israel, kita tidak bunuh orang seperti berlaku di Gaza.

“Kita juga tidak menutup mana-mana media seperti tindakan Israel telah menutup serta menggeledah pejabat Al Jazeera seperti yang berlaku semalam. Jadi saya rasa kedudukan ini bukan kayu ukur yang sejati atau golden standard,” ujarnya.

Untuk rekod, penurunan kedudukan Malaysia antara lain dikaitkan dengan tindakan kerajaan yang proaktif dalam menyekat hantaran atau perkongsian yang menyentuh sensitiviti kaum, agama serta raja, selain kritikan terhadap kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram