Kerajaan tidak berhasrat mahu tutup platform media sosial — Fahmi Fadzil


  • Primer
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Kerajaan mencadang agar platform media sosial berdaftar dengan SKMM.

MENTERI Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak berhasrat untuk menutup mana-mana platform media sosial seperti TikTok.

Namun, Fahmi berkata, kerajaan akan mengarahkan semua platform media sosial di Malaysia untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Belum lagi berhasrat menutup platform media sosial, jadi kita jangkakan mungkin dalam masa sebulan ini SKMM akan sediakan kerangka dan proses pendaftaran itu.

“Berikan SKMM sedikit masa kerana kita masih kumpulkan beberapa perkara seperti pengalaman luar ataupun perbincangan kita dengan penyedia platform media sosial di Malaysia,” katanya ketika sidang media selepas menjadi ahli panel rakaman program Suara Anak Madani bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasinya Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

msg1050426791-19680

Fahmi ketika menjelaskan perkara tersebut di sidang media itu.

Fahmi berkata, langkah tersebut adalah selari dengan pegangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu prinsip kebebasan bersuara tidak disentuh.

“Kita tak berhasrat waktu ini untuk menutup platform seperti TikTok dan yang lain sebab Perdana Menteri berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara.

“Tapi masa yang sama dengan adanya kebebasan itu mesti ada kebertanggungjawaban jadi sekiranya mana-mana pihak termasuk platform yang mungkin tersalah langkah ataupun menyatakan membuat kenyataan yang ekstremis disebar luar maka boleh diambil tindakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, kerajaan akan mengambil langkah untuk mengawal platform media sosial agar perkara yang terjadi di Indonesia tidak berlaku di Malaysia.

“Bila kita lihat keadaan di Indonesia mereka juga tidak berharap untuk mengharamkan atau menutup TikTok tapi kawal selia.

“Bagi TikTok Shop mereka melihat antara lain tidak mahu produk luar negara dilambakkan ke Indonesia,” jelasnya.

Pada 4 Oktober lalu, Indonesia secara rasminya mengumumkan penggantungan perkhidmatan beli-belah di platform TikTok bagi mematuhi peraturan baharu dalam ekonomi negara itu.

Sejurus penutupan itu, seluruh warga Indonesia yang menggunakan aplikasi itu untuk menjalankan perniagaan meluahkan rasa sedih sebelum membuat jualan kali terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram