SEORANG bayi perempuan berusia tiga tahun dilaporkan terselamat manakala ibunya maut selepas trak pikap yang dinaiki terbabas berhampiran Rh. Nginbang Batu 72, Suai, Niah dekat Miri, Sarawak pada Ahad.
Insiden terbabit turut membabitkan dua lagi nyawa yang disahkan meninggal di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 6.55 petang dan pihaknya segera menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dan BBP Lopeng ke lokasi kejadian.
BACA LAGI: Wanita warga emas maut, anak cedera parah kemalangan di Papar
Katanya, setiba di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati sebuah trak pikap jenis Isuzu Dmax yang membawa tujuh penumpang itu terbabas ke bahu jalan.
Pihak bomba cuba menyelamatkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Rh. Nginbang Batu 72, Suai, Niah, Miri pada Ahad. — Ihsan bomba
"Dua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam dan diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum ketibaan pihak bomba.
"Pasukan bomba kemudian mengeluarkan empat mangsa yang berada di longkang dan seorang mangsa di kawasan semak dengan menggunakan pengusung dan dibawa ke tempat yang selamat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, tiga mangsa iaitu Evelyn Shely Manyie, 26, Eddy Indau, 26, dan Jenging Tinsok, 39, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram