[VIDEO] Rebut jalan punya pasal, lelaki 'baran' tahan kereta, ajak bertumbuk di Pagoh


  • Tular
  • Isnin, 06 Mei 2024

Tangkap layar seorang lelaki bertindak ganas dengan melakukan provokasi di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Pagoh, Muar, Johor pada Isnin.

SEORANG lelaki bertindak luar kawalan apabila memaki dan menahan sebuah kereta dipercayai akibat perselisihan faham yang berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Pagoh, Muar, Johor pada Isnin.

Mangsa mendakwa pelaku berkelakuan sedemikian kerana tidak berpuas hati selepas keretanya dipintas di laluan lorong kanan.

Dalam pada masa sama, pemandu kereta jenis Perodua Alza itu terlebih dahulu dipercayai sengaja melakukan provokasi dan menghalang mangsa daripada memintas kenderaannya.

BACA LAGI: Bayi selamat, ibu antara 3 maut kemalangan ngeri di Miri

BACA LAGI: Wanita warga emas maut, anak cedera parah kemalangan di Papar

Keganasan itu berterusan apabila lelaki terbabit kemudiannya menunjukkan tanda isyarat lucah dan beberapa kali mengetuk tingkap kereta mangsa.

"Kemeriahan jalan raya ini berlaku apabila lelaki itu sengaja tidak memberi laluan untuk pintas kenderaannya, rasa bengang apabila mendapati saya pintas dia dari lorong kanan.

"Walaupun tahu ada isteri dan anak-anak di dalam keretanya, dia tidak teragak-agak untuk meletakkan semua nyawa dalam bahaya, terus mengekori saya dan menunjukkan sikapnya yang tidak profesional.

"Dia tidak pernah peduli tentang keselamatan jalan raya, kuat membawa emosi, dekati saya untuk menunjukkan segala kemarahannya dengan memanggil saya untuk bergaduh di tengah-tengah lebuh raya dengan membahayakan nyawa ahli keluarganya dengan menghentikan keretanya di laluan tersebut," ujar mangsa di laman Twitter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menahan dua lelaki terbabit bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut Raiz Mukhliz, berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati apabila salah seorang daripada lelaki itu memberhentikan kenderaannya secara mengejut dalam kejadian di Kilometer 134, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

Kedua-dua lelaki masing-masing berusia 26 dan 32 tahun.

Raiz Mukhliz dalam kenyataan sama menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta bersikap toleransi ketika di jalan raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram