[VIDEO] Dikecam berjoging atas jalan raya, Tengku Zafrul bangkit isu kurang laluan pejalan kaki sempurna di KL


  • Primer
  • Khamis, 22 Feb 2024

Tengku Zafrul (tengah) ketika melakukan senaman larian di sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini. — Twitter/TengkuZafrul

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tampil menjelaskan beberapa pendapat berhubung isu kekurangan laluan pejalan kaki sempurna di sekitar Kuala Lumpur.

Perkara itu dibangkitkan selepas beliau dikecam warganet yang mempertikaikan tindakannya berjoging di jalan raya ekoran fasiliti khas buat pejalan kaki itu masih berkurang dan belum mendapat maklum balas dari pihak berwajib.

Katanya, perkara itu sebelum ini pernah dibincangkan bersama pihak berkaitan dan usaha untuk menambah bilangan laluan tersebut masih giat dijalankan.

"Memang betul, masih banyak lagi kawasan di Kuala Lumpur yang tiada laluan pejalan kaki sempurna.

"Kalau tak ada laluan yang selamat dan selesa, macam mana kita nak galakkan orang berjalan kaki kan?

"Perkara ni saya dah pernah bangkitkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat Dr. Zaliha Mustafa, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memang sedar akan kekurangan ini dan insya-ALLAH, akan berusaha untuk menambah laluan pejalan kaki di lokasi yang bersesuaian," ciapnya di laman Twitter pada Khamis.

BACA LAGI: Kredibiliti sebagai pemimpin, antara 3 sebab Tengku Zafrul layak bertanding dalam Umno

BACA LAGI: Tengku Zafrul kongsi pengalaman kendali MOF ketika pandemik dalam buku

Jelasnya, perkara itu turut menyumbang kepada sektor pelaburan negara kerana mampu menarik syarikat multinasional (MNC) membuka perniagaan di negara ini.

"Sebenarnya, laluan pejalan kaki pun ada kaitan dengan pelaburan juga. Salah satu usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia untuk meningkatkan ekonomi negara ialah dengan menarik lebih banyak MNC membuka ibu pejabat serantau dan pusat perkhidmatan global mereka di KL dan Lembah Klang.

"Setakat ini, MITI dan agensinya telah berjaya menarik lebih 130 syarikat multinasional global terkemuka ke Greater KL seperti Honeywell, Cognizant dan Chery mewujudkan lebih 19,000 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia, dengan purata gaji bulanan RM13,000.

"Apakah salah satu kriteria yang dipertimbangkan MNC sebelum membuka ibu pejabat serantau? Daya huni atau 'liveability'.

"Dan kemudahan pejalan kaki, walaupun nampak remeh, sebenarnya menyumbang kepada daya huni sesebuah kota, lebih berdaya huni sesebuah kota, maka mudah untuk kita menarik MNC membuka ibu pejabat serantau mereka di sini," ujarnya.

Terdahulu, Zafrul sempat meluangkan masa bersenam apabila berjoging dari Menara MITI ke kediamannya selepas selesai waktu bekerja.

Ujarnya, ia merupakan salah satu azamnya pada tahun ini untuk kekal cergas dan aktif melakukan senaman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram