PENYANYI dan pelakon veteran, Datuk Hail Amir, 77, menghembuskan nafas terakhirnya akibat jangkitan paru-paru di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 3.43 petang pada Isnin.
Berita pemergian itu disahkan sendiri oleh anaknya, Cinta kepada rakan-rakan artis terdekat.
Hail yang berasal dari Pulau Pinang dimasukkan ke HKL pada Sabtu bagi menerima rawatan selepas mengalami masalah batuk berterusan.
BACA LAGI: [VIDEO] Rebut jalan punya pasal, lelaki 'baran' tahan kereta, ajak bertumbuk di Pagoh
BACA LAGI: Tiada keputusan muktamad pemotongan subsidi diesel — PM Anwar
Menurut Cinta, doktor sudah memulakan rawatan dengan memberikan antibiotik bagi mengawal jangkitan tersebut.
Pemilik nama sebenar Abdul Hail Amir itu juga pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan ke wad akibat masalah jantung.
Hail memulakan kerjaya seni sebagai penari kebudayaan di Badan Budaya di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada awal 70-an.
Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, beliau terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.
Selain menyanyi, seniman negara itu juga terkenal di layar perak, antara filem popular yang dilakonkan termasuk Jiwa Remaja, Menanti Hari Esok, Cinta Dan Lagu dan Anita Dunia Ajaib.
Penyanyi legenda yang popular pada era 1970-an itu meninggalkan seorang balu dan empat cahaya mata.
Selepas lebih lima dekad berkecimpung dalam dunia seni, Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram