Idea lapuk, hard sell dan syok sendiri punca ramai kecundang bergelar usahawan berjaya


  • Bizz
  • Isnin, 06 Mei 2024

Masalah ekonomi dan kenaikan harga barang mentah banyak memberi implikasi buruk terhadap bisnes-bisnes kecil. — Gambar hiasan

USAHAWAN disarankan untuk mempunyai lebih banyak strategi dan perancangan sebagai persediaan mendepani iklim bisnes yang semakin kompetitif.

Umum sedia maklum, bidang keusahawanan akan sentiasa menjadi perhatian dan berubah seiring peredaran zaman.

Menurut seorang usahawan, Rahim Sabri, sebelum ini peniaga berdepan dengan era produk melawan produk.

BACA LAGI: Ramai anak muda idam kereta 'have-have', tak ukur baju di badan sendiri

BACA LAGI: Usah percaya gambar internet, cek tunggakan, ejen hartanah kongsi tip beli rumah lelong

Ujarnya, menerusi konsep tersebut, pihak yang tampil dengan produk bagus akan memiliki kelebihan dalam memasarkan produk mereka.

"Kemudian era pemasaran melawan pemasaran. Sekejap saja ia boleh jadi wild card.

"Kemudiannya, semua bisnes menggunakan kaedah pemasaran yang hampir sama.

"Kini sudah tiba era strategi melawan strategi. Ia lebih tersirat. Tersurat tidak menggambarkan yang tersirat. Taktik yang berlaku depan mata tidak boleh sewenangnya dibaca," katanya menerusi hantaran di Facebook, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pakar pemasaran digital, Jamaluddin Bahari atau lebih dikenali sebagai SifuBad menjelaskan beberapa faktor bisnes sukar mendapat keuntungan.

Pengasas dan Pengarah Sifufbads Sdn Bhd itu berkata, masalah ekonomi dan kenaikan harga barang mentah banyak memberi implikasi buruk terhadap bisnes-bisnes kecil.

Di sini Majoriti senaraikan tiga punca yang menyebabkan bisnes anda tidak untung berserta langkah menanganinya seperti yang diulas SifuBad.

4

Bidang keusahawanan akan sentiasa menjadi perhatian dan berubah seiring peredaran zaman.

1. Buat pemasaran syok sendiri

Ini salah satu punca utama bisnes tidak untung.

Masih ramai peniaga yang tidak menyusun strategi dengan jelas dan buat keputusan terburu-buru, main langgar sahaja yang pada akhirnya merugikan bisnes anda sendiri.

Walaupun baru sahaja memulakan bisnes, anda perlu bijak mengatur langkah, strategi dan teknik yang betul. Ada cara berbayar dan percuma, jadi ikut sahaja bajet yang ada.

Cari guru bertauliah atau sertai kelas berkaitan untuk mengelakkan lebih banyak kesilapan.

Sebelum memulakan satu kempen pemasaran, anda perlu buat sasaran jangka pendek dan jangka panjang, strategi pemasaran yang berimpak besar dan berkeuntungan tinggi.

2. Strategi lapuk

2

Usahawan perlulah menambah baik ilmu dan strategi baharu supaya bisnes sentiasa relevan dengan pasaran semasa.

Strategi lima tahun lepas mungkin sudah tidak berkesan sekarang. Anda harus berkembang seiring dengan perubahan teknologi hari ini, yang terbukti telah mengubah tingkah laku pelanggan.

Jadi anda perlulah menambah baik ilmu dan strategi baharu supaya bisnes sentiasa relevan dengan pasaran semasa.

Antaranya dengan cara menghasilkan produk, reka bentuk dan bungkusan baharu yang lebih segar dan bersesuaian dengan zaman sekarang.

Jangan takut untuk mencuba strategi baharu yang lebih terkini. Ikut trend yang tengah hot sekarang dan buat penilaian bagaimana peniaga lain menjana jualan mereka.

Jika sudah tidak berkesan, tinggalkan strategi lama dan cari cara baharu yang boleh tarik minat pelanggan. Perlu ingat bahawa dunia bisnes sentiasa berubah, jadi anda juga perlu berubah!

3. Terlalu hard sell

1

Perlu fokus pada kepuasan pelanggan dan jangan terlalu memaksa mereka untuk beli.

Jangan jadi seorang penjual, tetapi jadilah seorang konsultan yang boleh membantu menyelesaikan masalah pelanggan.

Tidak salah untuk hard sell atau bahasa mudahnya, terlalu memaksa orang lain untuk membeli produk atau perkhidmatan anda, namun kalau dah hari-hari, pelanggan pasti akan lari kerana rasa diri tidak dihargai. Risikonya, mereka mungkin tidak akan menyokong lagi bisnes anda.

Kita perlu lebih sering bertanya khabar dan menjaga hubungan dengan mereka.

Jadi, fokus pada kepuasan pelanggan dan jangan terlalu memaksa mereka untuk beli.

Jika berpuas hati dengan servis yang ditawarkan, tidak mustahil mereka akan datang membeli lagi dan kemudian syorkan pula pada kawan-kawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram