
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan media asing berkenaan pemotongan subsidi bahan api disifatkan tidak beretika kerana belum ada keputusan muktamad yang dibuat di peringkat jemaah menteri berkenaan isu tersebut.
"Saya mendapati kebelakangan ini, mungkin kerana pendirian kita terhadap politik yang tegas, maka media jiran dan antarabangsa terus menyerang dari segi berita yang negatif, umpamanya isu pembangunan kasino (di Johor), ia tidak pernah dibincangkan dan tidak pernah sampai ke maklumat saya tapi ia dijadikan isu panas.
"Kemudian isu penarikan subsidi diesel, walaupun ada perbincangan awal tapi tidak ada keputusan muktamad berkenaan tarikh pelaksanaan.
"Kaedahnya perlu diterangkan. Prinsipnya supaya ia tidak membebankan rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama pemimpin masyarakat di Hotel The Light, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
BACA LAGI: Isteri tak endah suami rogol anak hingga lahirkan 2 zuriat
Anwar juga mengkritik laporan media asing berkenaan kerana memetik maklumat daripada sumber yang tidak boleh dipercayai.
"Kita terima prinsip kebebasan (media) tetapi ada etika berdasarkan fakta. Memetik maklumat perlukan daripada sumber yang boleh dipercayai.
"Perkara sebegini adalah soal dasar yang memerlukan kerajaan beri notis dan pengumuman," jelasnya.
Pada Sabtu, media asing melaporkan Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun ini dengan memetik sumber rasmi dan industri.
Menurut laporan itu, harga diesel didakwa akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dan akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram