SEORANG lelaki maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan dua lori dalam kejadian di Jalan Kempas Lama menghala ke Kampung Maju Jaya, Johor Bahru, Johor pada petang Jumaat.
Insiden ngeri yang berlaku kira-kira pukul 6.08 minit petang itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Hafizul Ashraf Ali meninggal dunia di lokasi kejadian.
Berdasarkan perkongsian di laman X (Twitter) salah seorang rakan mangsa, @irfxn, mangsa difahamkan baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan pasangannya pada 14 April lalu.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Muhammad Hafizul (belakang, dua dari kanan) mengikat tali pertunangan dengan pasangannya pada 14 April lalu. — Twitter/claudio
Muhammad Hafizul yang merancang untuk mendirikan rumah tangga pada Disember tahun ini difahamkan berhasrat untuk menjadikan rakan-rakannya sebagai pengapit pada hari persandingannya nanti.
Berkongsi tentang kemalangan tersebut, rakan mangsa memberitahu, kejadian itu dipercayai berlaku selepas sebuah kereta bertindak menghimpit motosikal mangsa sehingga menyebabkan dia terperosok di bawah lori.
Menerusi maklumat awal yang diterima, pemandu lori terbabit dipercayai menggunakan telefon pintarnya sewaktu memandu, namun sudah mengakui kesalahannya kepada abang mangsa.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

