SEBUAH kereta mewah jenis Rolls Royce dilaporkan 'ghaib' selepas dilarikan dua individu lelaki di sebuah kawasan kediaman dekat Toronto, Kanada pada November tahun lalu.
Kejadian yang berlaku pada awal pagi itu tidak disedari sesiapa dengan kelibat pelaku juga didakwa seperti sudah terbiasa menjalankan kegiatan jenayah tersebut.
Namun, paling mencuri tumpuan adalah kaedah digunakan pencuri terbabit yang dilihat turut membawa wayar antena televisyen (TV) bersama ketika kejadian.
Rakaman kejadian kembali tular di laman media sejak Khamis dan hangat diperkatakan warganet.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik Honda City terkedu kereta kena curi depan mata di 'carwash' dekat Shah Alam
Difahamkan, wayar antena itu dipacakkan berhampiran kawasan rumah tersebut bagi mencuri signal daripada kunci kenderaan tersebut.
Menggunakan teknologi enjin tanpa kunci, antena TV itu berfungsi untuk menghidupkan kereta mewah tersebut melalui isyarat yang diambil daripada kunci alat kawalan jauh terbabit.
Kenderaan bernilai lebih AS$350,000 (RM2.1 juta) itu kemudiannya berjaya dilarikan kurang dari 30 saat selepas enjinnya dihidupkan secara automatik melalui kaedah digunakan.
Dalam pada itu, penduduk di kawasan berkenaan dilaporkan berkata, beberapa kenderaan mewah lain sebelum ini turut hilang dipercayai angkara individu sama.
Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian itu namun, kenderaan itu masih gagal ditemui sehingga ke hari ini.
Hasil siasatan polis mendapati bahawa kesemua kereta yang dicuri diseludup ke negara Timur Tengah melalui kapal kontena dan siasatan masih diteruskan berhubung kes tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram