[VIDEO] Lelaki diikat kena belasah sampai mati lepas langgar pagar rumah di Kajang, 5 suspek dicekup polis


  • 112
  • Rabu, 21 Feb 2024

Tangkap layar seorang pemandu dilaporkan maut akibat didakwa dipukul sekumpulan lelaki di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada Selasa malam.

SEORANG pemandu kereta dilaporkan maut dipukul sekumpulan lelaki selepas didakwa merempuh pagar sebuah kediaman di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada Selasa malam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pukul 9.20 malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu telah terbabas melanggar pagar kawasan perumahan dan pemandu kereta berusia 42 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring atas jalan raya.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan seperti diikat pada pergelangan tangan mangsa dan pihak ambulans yang tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Isteri nafi suami tergamak belasah, lempar anak depan rumah di Kulim

BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun Rohingya selamba pecah pintu depan, curi PS4 dan barang kemas di Gombak

Jelasnya, saksi di kawasan perumahan tersebut mendakwa telah melihat mangsa ditarik keluar dari kenderaannya oleh sekumpulan lelaki sebelum dipukul.

Malah, tangan mangsa juga diikat sambil dibiarkan terbaring di tengah jalan.

"Kesemua individu yang berada di lokasi kejadian telah beredar sebaik sahaja pihak polis tiba.

"Pasukan forensik yang hadir telah mengambil sampel calitan darah, kesan cap jari serta dua utas gumpalan tali berwarna hijau coklat bagi membantu siasatan," katanya.

Bertindak atas maklumat, empat lelaki Melayu dan seorang lelaki India berusia 22 hingga 52 tahun ditahan di sekitar Semenyih serta Beranang, Selangor kira-kira pukul 2.05 pagi Rabu.

Jelasnya, kesemua tangkapan direman selama lima hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan.

Mohd Zaid berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram