
SEORANG pemuda maut selepas motosikal ditungganginya bergesel dengan lori di Kilometer 13.9 Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE), Pulau Pinang pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar tengah hari Sabtu itu, mangsa yang sedang menunggang motosikal dilihat bergesel dengan sebuah lori yang secara tiba-tiba membelok ke kiri di lorong kecemasan.
Impak daripada insiden tersebut, mangsa yang juga pemuda berusia 19 tahun berkenaan dilihat terbabas sebelum tercampak ke atas besi pengadang di tepi lebuh raya terbabit.
BACA LAGI: Isteri tak endah suami rogol anak hingga lahirkan 2 zuriat
Tangkap layar video memaparkan kecederaan parah dialami mangsa ekoran kemalangan yang berlaku di Kilometer 13.9 Lebuh Raya Kulim-Butterworth arah Barat dari Lunas ke Kubang Semang pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, berkata, polis menerima laporan kemalangan pada pukul 12.20 tengah hari.
Mangsa berusia 19 tahun menunggang motosikal bersendirian dari arah Kulim, Kedah ke arah Seberang Jaya sebelum bergesel dengan sebuah lori dari arah sama.
"Selepas bergesel motosikal mangsa terbabas ke kiri jalan. Mangsa yang parah di tangan dan kaki dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Helmi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di talian 04-5301342 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sebelum ini Majoriti melaporkan, satu rakaman tular menunjukkan keadaan mangsa yang terduduk di tepi jalan masih dalam keadaan bernyawa.
Mangsa ketika itu dilihat meraung kesakitan dan memohon pertolongan orang awam sebelum dilaporkan meninggal dunia beberapa jam ketika menerima rawatan di hospital.
Menurut maklumat awal dikongsikan orang awam, laluan motosikal di lebuh raya berkenaan ditutup ketika kejadian kerana kerja penyelenggaraan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram