Saya tak sanggup tengok video anak diikat, kena pukul — Bapa


  • Massa
  • Khamis, 22 Feb 2024

Tangkap layar seorang pemandu dilaporkan maut akibat didakwa dipukul sekumpulan lelaki di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada Selasa malam.

KELUARGA mangsa lelaki yang dilaporkan maut selepas diikat dan dipukul dalam insiden yang berlaku di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada Selasa lalu menggesa agar pelaku dijatuhi hukuman setimpal.

Bapanya, Samad Bakar, 70, berkata, dia sekeluarga hanya berharap pelaku dibawa ke muka pengadilan selain turut meluahkan kesedihan dan tidak sanggup untuk melihat video tular tersebut, lapor Buletin Utama.

Warga emas itu berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi anak ketiganya kira-kira pukul 1.30 pagi pada hari kejadian.

“Ketika itu, anak saya hanya beritahu arwah dipukul. Tiada pula dia maklum yang dia sudah meninggal dunia.

“Saya mula bersiap ke lokasi, namun anak beritahu tidak perlu kerana arwah sudah dibawa ke Hospital Serdang,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki diikat kena belasah sampai mati lepas langgar pagar rumah di Kajang, 5 suspek dicekup polis

Jelasnya, dia tidak mengetahui bagaimana kejadian sebenar berlaku namun beranggapan arwah tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.

“Arwah anak kedua dari tujuh beradik dan seorang yang baik malah tidak pernah melawan apabila dimarahi. Dia masih bujang dan banyak membantu saya serta isteri di kedai makan kami,” katanya.

Sementara itu, adik Allahyarham, Syazwan Samad, 27 berkata, dia sekeluarga menyerahkan kes itu kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang setimpal terhadap individu terbabit.

“Mereka tidak sepatutnya dilepaskan begitu saja kerana telah menyebabkan kematian. Saya sendiri ada dapat rakaman keseluruhan kejadian daripada orang awam yang berada di lokasi dan maklumkan bersedia jadi saksi.

“Oleh sebab itu, kami harap ada keadilan kepada kematiannya,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun Rohingya selamba pecah pintu depan, curi PS4 dan barang kemas di Gombak

Terdahulu, Allahyarham Shahril Samad, 41, dipercayai maut selepas ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam dan dipukul hingga maut.

Kejadian dipercayai berlaku selepas Allahyarham yang memandu Proton Saga, dikatakan terbabit kemalangan dengan seorang penghantar makanan dan merempuh pagar sebuah rumah di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pukul 9.20 malam.

"Bertindak atas maklumat, empat lelaki Melayu dan seorang lelaki India berusia 22 hingga 52 tahun ditahan di sekitar Semenyih serta Beranang kira-kira pukul 2.05 pagi Rabu.

"Kesemua tangkapan direman selama lima hari sehingga Ahad bagi membantu siasatan," katanya.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram