Boikot francais berterusan jejas rantaian industri makanan, kuasa berbelanja isi rumah


  • Bizz
  • Rabu, 01 Mei 2024

Sebanyak 108 daripada 600 cawangan menghentikan operasi buat sementara waktu ekoran gerakan boikot yang terjadi kira-kira setengah tahun.

SUSULAN boikot berterusan sebagai solidariti rakyat Malaysia terhadap konflik Israel-Palestin, jualan syarikat-syarikat yang menyumbang dan menyokong jenayah perang rejim Zionis mulai merudum.

Terbaharu, pemegang francais restoran KFC di Malaysia, QSR Brands (M) Holdings Bhd mengambil langkah menutup sejumlah kedai buat sementara waktu untuk menguruskan peningkatan kos perniagaan.

Dilaporkan setakat petang Sabtu, sebanyak 108 daripada 600 cawangan menghentikan operasi buat sementara waktu ekoran gerakan boikot yang terjadi kira-kira setengah tahun.

Mengulas mengenai perkembangan tersebut, pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Law Siong Hook tidak menolak kemungkinan francais lain yang turut sama diboikot akan mempertimbangkan untuk menghentikan operasi.

Menurut beliau, boikot sememangnya akan memberi kesan pada jualan dan hasil pendapatan sesebuah perniagaan.

"Perniagaan lain dalam sektor berkaitan, seperti pembekal, pengedar atau pemegang francais juga mengalami tekanan kewangan.

"Jika boikot berterusan dan menjejaskan keuntungan dengan ketara, mereka mungkin memilih untuk menangguhkan operasi buat sementara waktu bagi membayar kos tetap sahaja (sewa kedai) dan tidak membayar kos berubah (gaji pekerja)," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: KFC Malaysia sahkan ada cawangan tutup sementara operasi

Participants of the 'Action Action: Siege For Palestine' picket continued to gather on the New Year countdown 2024 near the United States (US) Embassy in Jalan Tun Razak —SHAARI CHEMAT / THESTAR

Rakyat Malaysia mulai memboikot syarikat yang menyokong jenayah perang rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.

BACA LAGI: Pekerja yang terpaksa tanggung sengsara akibat boikot — Nga Kor Ming

Dalam pada itu, Siong Hook berkata, tindakan boikot terhadap sektor makanan segera boleh menjejaskan pelbagai pihak berkepentingan.

Ujarnya, rantaian industri makanan segera boleh menjana hasil yang ketara, justeru operasi boikot boleh menyebabkan kerugian langsung dalam jualan.

"Ia memberi kesan bukan sahaja kepada syarikat tetapi juga pembekal, pekerja dan francais yang bergantung kepada jualan ini untuk menjana pendapatan.

"Apabila sebahagian kedai ditutup, berhenti operasi sementara atau pengurangan waktu kerja untuk pekerja, ia boleh menjejaskan peluang pekerjaan dalam pasaran tenaga kerja.

"Ia termasuk pemberhentian, yang boleh mempunyai implikasi ekonomi yang luas, termasuk penurunan kuasa perbelanjaan pengguna atau isi rumah," jelasnya.

prof

Siong Hook

Beliau turut menjelaskan, rantaian makanan segera bergantung kepada rantaian bekalan yang melibatkan penternak, petani, pemproses makanan, pengedar dan pembekal logistik.

Katanya lagi, gangguan dalam operasi boleh menyebabkan lebihan stok dan para pembekal akan mengalami kerugian kewangan jika rantaian bekalan terkesan.

"Penurunan dalam jualan boleh menyebabkan hasil cukai yang lebih rendah untuk kerajaan.

"Operasi boikot juga boleh memberi kesan kepada keyakinan dan sentimen para pelabur terhadap industri secara keseluruhan," katanya.

Ditanya apakah faktor yang memainkan peranan terhadap perkembangan tersebut, Siong Hook berpandangan, tidak dinafikan politik boleh dianggap sebagai penyumbang namun ia turut dipengaruhi aspek lain.

"Ia antara lain disebabkan oleh perubahan selera dan kehendak mendepani cabaran ekonomi semasa.

"Selain itu, perkembangan industri francais yang baharu juga menawarkan lebih banyak pilihan dan pengganti. Francais-francais perlu memastikan kualiti dan harga yang berpatutan demi menarik pelanggan," ulasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram