MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menggesa orang ramai agar tidak masuk dalam perangkap mana-mana penghasut untuk melakukan perbuatan boikot sehingga menjejaskan ekonomi negara.
Kor Ming menerusi ciapan di Twitter (X) pada Khamis berkata, perbuatan boikot yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab memberi kesan besar terhadap pekerja-pekerja tempatan.
BACA LAGI: Kerajaan akan segerakan penyediaan kemudahan wad kelas 3 HKL
Nga Kor Ming berkata, perbuatan boikot yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab memberi kesan besar terhadap pekerja-pekerja tempatan
Beliau berkata, pekerja juga terpaksa menanggung sengsara dan sukar menjana pendapatan akibat tindakan boikot itu.
"Jangan sesekali masuk dalam perangkap penghasut, negara kita memerlukan usaha semua pihak untuk membangunkan ekonomi negara," katanya.
Kor Ming membuat ciapan itu di X sambil berkongsi gambar memaparkan dua pekerja KFC iaitu Taji dan isterinya, Ena yang terpaksa menyara kehidupan mereka lima beranak dengan gaji sekadar RM600 selepas majikan mereka membuat potongan gaji akibat tindakan boikot.
Sejak kebelakangan ini, rakyat Malaysia secara aktif melakukan boikot kepada beberapa syarikat besar yang terpalit dalam kontroversi termasuk kalimah ALLAH.
Kegiatan boikot itu juga dilakukan kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan isu peperangan Israel-Palestin.
Terdahulu, Kor Ming sebelum ini mahu semua pihak yang disifatkan sebagai 'tukang bakar' dan 'parasit politik' yang suka menghasut agar mengambil iktibar semangat kesucian Ramadan dan Aidilfitri untuk bermuhasabah diri.
Tanpa menamakan mana-mana pihak, Pengerusi DAP Perak itu berkata, 'tukang bakar' serta 'parasit politik' tidak seharusnya menyalahkan sesiapa apabila tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa ke atas mereka kerana masih berdegil walaupun amaran dan teguran sudah diberikan.
Katanya, keharmonian masyarakat berbilang kaum amat penting kerana tanpanya tiada pembangunan ekonomi dilaksanakan.
Beliau berkata, semua pihak harus memastikan tumpuan adalah untuk membangunkan kemakmuran serta ekonomi negara.
Kenyataan itu dikeluarkan Kor Ming susulan peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan mana-mana pihak agar tidak sesekali menggunakan isu stoking tertera kalimah ALLAH ataupun isu-isu sensitif lain untuk menghasut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram