SPRM tahan MB Perlis pagi Selasa, bantu siasatan anak


  • 112
  • Selasa, 30 Apr 2024

Mohd Shukri dibenarkan pulang selepas SPRM mengambil keterangannya pada Selasa.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bagi membantu siasatan berhubung kes anak lelakinya yang ditahan reman sejak Rabu.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Selasa.

Mohd Shukri dilaporkan ditahan di ibu pejabat agensi berkenaan selepas hadir untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung kes melibatkan anak lelakinya itu.

"Pegawai saya mahu beliau menjawab beberapa dakwaan terhadapnya," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Azam turut memaklumkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang itu dijangka dilepaskan sekiranya SPRM berpuas hati dengan kenyataan yang diberikan.

Media sebelum ini melaporkan anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

BACA LAGI: Anak MB Perlis, 4 individu lain dibebas dengan jaminan SPRM

mb

Anak Menteri Besar Perlis antara enam yang ditahan pada Selasa kerana kesalahan membuat tuntutan palsu.

BACA LAGI: MB Perlis tahu anak ditahan, serah kepada SPRM untuk siasa

Keseluruhan projek melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Mohd Shukri dalam pada itu mengakui bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berkaitan siasatan yang dijalankan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis berkata, sekiranya hasil siasatan mendapati anaknya terbabit dalam kes mengemukakan dokumen dan tuntutan palsu sejak dua tahun lalu, SPRM berhak menghukum anaknya.

Sementara itu, Mohd Shukri menerusi hantaran di Facebook miliknya memaklumkan beliau sudah dibenarkan pulang selepas keterangannya diambil bermula pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari, Selasa.

"Alhamdulillah, selesai memberi keterangan. Penting untuk mencari dan dapatkan berita yang sahih. Jangan jadi penyebar kepada berita palsu. Seperti yang saya tegaskan, saya akan terus memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM dalam membuat siasatan.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan, Insya-ALLAH. Terima kasih atas komen yang baik-baik, mendoakan urusan saya dipermudahkan. Semoga doa-doa yang baik ini juga berbalik kepada anda," katanya. — The Star/MAZWIN NIK ANIS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram