SEORANG wanita warga emas ditemukan rentung selepas rumahnya terbakar di Kampung Sungai Kapur, Jalan Ulu Dusun Batu 28, Sandakan, Sabah pada tengah malam Isnin.
Ketua Balai dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui berkata, dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa yang berusia 84 tahun ditemukan rentung di dalam rumah tersebut.
Menurut Severinus, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.41 tengah malam.
BACA LAGI: [VIDEO] Hajat beli baju raya anak tak kesampaian, suami isteri rentung kemalangan di Nilai
"Seramai 12 anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalakan operasi memadam kebakaran.
"Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis tidak kekal sudah terbakar 100 peratus dan usaha memadam segera dijalankan bagi mengelak api merebak.
"Seorang mangsa wanita warga emas ditemukan rentung dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Severinus memaklumkan, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat sebelum operasi ditamatkan pada 3.17 pagi.
"Pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami mangsa," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram