Malaysia sedia beri bantuan rawatan kepada rakyat Palestin — PM Anwar


  • Primer
  • Selasa, 30 Apr 2024

Anwar mengadakan pertemuan bersama Sheikh Mohammed di Riyadh, Arab Saudi. — Facebook/Anwar Ibrahim

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesediaan Malaysia untuk bekerjasama dengan Qatar dan negara lain di rantau Asia Barat bagi memberikan bantuan rawatan kepada rakyat Palestin yang cedera akibat keganasan rejim Zionis.

Perkara itu dimaklumkan Anwar kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani semasa kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.

Pertemuan dan perbincangan antara kedua-dua pemimpin berkenaan turut dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook milik Anwar.

"Selama hampir 20 minit perbincangan saya dan Sheikh Mohammed menyentuh pelbagai perkara penting, termasuk bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin.

"Perbincangan kami juga tertumpu pada potensi kerjasama baharu dalam bidang berkepentingan bagi kedua-kedua negara termasuklah kewangan Islam, ekonomi digital, keterjaminan makanan dan tenaga boleh diperbaharui.

"Saya dan Sheikh Mohammed juga berhasrat untuk meningkatkan pelaburan antara kedua-dua negara, serta melonjakkan hubungan perdagangan Malaysia-Qatar," katanya pada Selasa.

BACA LAGI: 'Ini bukan zaman Tun M' antara jawapan kononnya Anwar Ibrahim bernasib baik jadi PM

Pertemuan Anwar (kiri) dan Sheikh Mohammed (kanan) menyentuh pelbagai perkara penting. — Facebook/Anwar Ibrahim

BACA LAGI: Kami berdua yang tolong Anwar berkempen, tapi saya pula disiasat — Tun M

Menteri Kewangan itu turut menzahirkan penghargaan kepada Qatar atas peranan negara tersebut dalam membawa keluar rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron dari Gaza pada November 2023.

Nurul Ain bersama suaminya, Mohamed AM Shaat yang juga warga Palestin, selamat tiba di Malaysia pada 14 November 2023 selepas dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah.

Anwar juga menyatakan sokongan terhadap peranan Qatar sebagai pengantara dalam isu Palestin.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia turut terbabit dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Setakat ini, Malaysia menerbangkan 100 tan barangan bantuan ke kawasan yang dilanda konflik itu, 20 tan lagi dihantar menerusi jalan laut manakala 1,500 tan diagih melalui badan bukan kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram