DUA lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang peniaga yang dipercayai dibunuh sekumpulan lelaki berparang di sebuah rumah dekat Taman Jaya, Kapar, Selangor pada Khamis minggu lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, dua individu yang ditangkap masing-masing berumur 25 dan 28 tahun.
"Identiti suspek bagaimanapun masih dalam siasatan.
"Selain isteri dan anak mangsa yang berada di lokasi kejadian, pihak polis juga sudah merakam keterangan seorang saksi baharu," katanya kepada Majoriti.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian mengerikan itu dimuat naik di laman X (Twitter) @NaratifRakyat pada Isnin.
BACA LAGI: Peniaga mati tertiarap, CCTV rakam 4 lelaki bersenjatakan parang dan pistol taser pecah masuk rumah
Orang ramai serta polis berada di sekitar kawasan rumah mangsa pembunuhan di sebuah rumah dekat Taman Jaya, Kapar pada Khamis minggu lepas.
BACA LAGI: Suspek tembak KLIA akui masih sayangkan Farah Cie
Vijaya dalam masa sama turut menafikan dakwaan bahawa mangsa terlibat dalam kegiatan kumpulan kongsi gelap seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
"Bukan ketua kumpulan kongsi gelap, (namun) setakat maklumat yang diperolehi, (motif kejadian ialah) dendam mengenai isu lama yang berlarutan," jelas beliau.
Majoriti sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun ditemui mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di hadapan bilik tidurnya.
Vijaya memaklumkan, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), empat orang lelaki dikesan masuk ke rumah berkenaan dengan bersenjatakan parang dan pistol taser.
Mangsa ditemui mati dalam keadaan meniarap dipercayai dibunuh di hadapan bilik tidurnya pada Khamis lalu.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati terdapat kesan tetakan pada kepala, kedua belah kaki, bahu dan tangan kanan mangsa.
"Motif awal setakat ini dipercayai berpunca akibat dendam, bagaimanapun siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan.
"Siasatan di lokasi sebelum ini bagaimanapun tidak menemui sebarang senjata yang digunakan ketika kejadian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram