KERAJAAN negeri Terengganu bersedia mempertimbangkan cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di khalayak atau tempat awam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dilaporkan berkata, beberapa prosedur tertentu akan diteliti terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya.
Menurutnya, ketika ini ia tertakluk pada enakmen sedia ada dan sebarang penambahbaikan akan dibuat secara berterusan dalam usaha memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah Islam di Terengganu.
"Ia dalam proses dan kita akan tengok dari semasa ke semasa. Buat masa sekarang ini, ia akan dilaksanakan di tempat tertutup, di dalam penjara.
"Jadi, atas dasar itu kita laksanakan dahulu perkara yang sedia ada. (Jika) ada untuk penambahbaikan (pun), kita akan lihat dari semasa ke semasa," katanya.
Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, peruntukan sedia ada memberi kuasa kepada hakim menentukan tempat pelaksanaan hukuman sebat.
Jelas beliau, berdasarkan enakmen sedia ada, hukuman akan dilaksanakan pihak penjara.
"Buat masa ini, apabila hakim tidak menyebut di mana pesalah itu disebat, secara automatiknya pesalah itu akan disebat di dalam penjara sehingga diperintah sebaliknya oleh hakim," ujarnya.
BACA LAGI: Peniaga mati tertiarap, CCTV rakam 4 lelaki bersenjatakan parang dan pistol taser pecah masuk rumah
Beberapa prosedur tertentu akan diteliti terlebih dahulu sebelum pelaksanaannya. — Gambar hiasan
BACA LAGI: Suspek tembak KLIA akui masih sayangkan Farah Cie
Menjengah ke laman Facebook, rata-rata warga maya menyatakan persetujuan dengan cadangan pelaksanaan tersebut.
Seorang pengguna akaun Facebook dengan nama Ad Aman berkata, hukuman sebat memang terdapat dalam syariat Islam dan ia juga merupakan sebahagian daripada hukum yang diturunkan ALLAH SWT.
Menurutnya, hukuman tersebut bukan untuk menghukum atau mencederakan seseorang tapi nak beri pengajaran di samping memberi amaran kepada umat Islam agar menjauhi diri daripada perkara yang dilarang dalam Islam.
"Lagipun, kaedah sebatan syariah adalah jauh berbeza dengan sebatan bagi hukuman sivil.
"Ini kerana ujarnya, syarat sebatan syariah tidak boleh mencederakan pesalah.
"Prosedur hukuman sebatan (di mahkamah syariah) pun jauh lebih lembut dan ringan berbanding sebatan mahkamah sivil," katanya sebagai memetik penjelasan daripada laman web Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram