'Sama pergi Segamat dengan dia', rakan pilu lihat mangsa rentung nahas treler masuk gaung di Senawang


  • 112
  • Rabu, 27 Mac 2024

Tangkap layar video memaparkan keadaan lori kontena terbabit yang terbakar di tepi lebuh raya berkenaan akibat kemalangan yang berlaku pada Rabu.

SATU kemalangan maut dilaporkan berlaku membabitkan sebuah lori kontena dan treler di Kilometer 255.9 arah utara berdekatan susur keluar tol Senawang, Negeri Sembilan pada Rabu.

Menerusi video tular dikongsikan orang awam, lori kontena terbabit dilihat terbalik di tepi lebuh raya berkenaan manakala bahagian depan lori itu didapati terbakar dan terjatuh di dalam gaung sedalam 10 meter.

Menurut laporan media tempatan, pemandu lori kontena tersebut yang berusia 30-an meninggal dunia selepas rentung dan tersepit.

BACA LAGI: Ramai tak beli baju raya, netizen kongsi kisah sedih persiapan ala kadar Aidilfitri

BACA LAGI: Budak 4 tahun di Sungai Buloh maut terjatuh tingkat 16 lepas panjat sofa tepi tingkap

Sementara itu, satu video berasingan memaparkan ketibaan pasukan bomba untuk memadamkan kebakaran di lokasi.

Namun, menerusi klip terbabit, terdapat keluhan didengar daripada orang awam yang kesal dengan tempoh masa yang diambil pasukan berkenaan untuk tiba di tempat kejadian.

"Baru nak sampai, api dah nak padam dah... sama pergi tadi Segamat dengan dia (mangsa)," ujar salah seorang saksi dipercayai rakan mangsa yang merakam video di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, pihak bomba menerusi satu laporan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 3.20 petang.

Susulan daripada itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau dikerahkan untuk bergegas ke lokasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram