SEPASANG suami isteri maut selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan bersama sebuah lori sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Bukit Mantin, Nilai, Negeri Sembilan pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, dalam insiden sekitar pukul 10.25 pagi itu, kenderaan jenis BMW dinaiki mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Mantin Ke Seremban.
"Siasatan awal mendapati semasa kejadian, pemandu kereta jenis BMW ingin memotong kenderaan di hadapannya lalu hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori jenis Isuzu.
"Kemalangan ini mengakibatkan kereta mangsa terbakar. Akibat kemalangan ini, pemandu dan penumpang kereta jenis BMW yang tersepit dalam kereta rentung dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Keadaan lori yang terbabit dalam kemalangan terbabit yang mengorbankan nyawa sepasang suami isteri pada Isnin. — Telegram
Menurut Mat Ghani, mereka yang meninggal dunia masing merupakan lelaki berusia 34 tahun dan wanita berusia 32 tahun.
Beliau berkata, pemandu lori jenis Isuzu yang terlibat mengalami kecederaan ringan dan luka di bahagian tangan serta kepala dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, media tempatan melaporkan dua mangsa yang maut itu merupakan pasangan suami yang dikenali sebagai Abdul Halim Mat Rani dan Noor Azeana Azreen Hasmadi.
Difahamkan, kedua-dua pasangan suami isteri terbabit sedang dalam perjalanan untuk membeli pakaian raya buat empat anaknya yang berusia antara 12 hingga tiga tahun.
Menurut laporan tersebut, pasangan itu bekerja sebagai mekanik dan pembantu kedai makan dengan kesemua anaknya berada di rumah mereka di Seremban ketika kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram