TINDAKAN mempertikai kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri adalah satu perbuatan yang tidak berasas.
Penganalisis Sosiopolitik dari Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, pandangan itu juga tidak bersandar kepada sistem perundangan dan demokrasi yang diamalkan di dalam negara.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Anwar hanya bernasib baik dipilih sebagai Perdana Menteri dan bukan dipilih rakyat.
"Pertama, kuasa melantik Perdana Menteri adalah tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong. Jadi tidak perlulah dipertikaikan.
"Jadi tuduhan yang menyatakan bahawa Anwar menjadi Perdana Menteri 'by default' ini adalah pandangan yang serong terhadap realiti sebenar yang berlaku," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Awang berkata, meskipun Anwar memerlukan sokongan daripada pelbagai parti untuk menjadi Perdana Menteri, ia tidak bermaksud Ahli Parlimen Tambun itu tidak layak memegang jawatan tersebut.
Awang berkata, realiti politik semasa menyaksikan kebanyakan kerajaan dibentuk melalui kerjasama daripada pelbagai parti. — Gambar hiasan
"Kita perlu lihat situasi politik di seluruh dunia yang cenderung kepada Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hasil daripada kerjasama pelbagai parti.
"Trend sesebuah parti menang majoriti untuk menjadi kerajaan itu sudah semakin berkurang. Ini bukan zaman tahun awal 80-an semasa Mahathir jadi Perdana Menteri.
"Sekarang ini realiti politik sudah berubah seiring dengan perkembangan yang berlaku dari segi kebudayaan dan teknologi," katanya.
Dalam satu sidang media pada Isnin, Mahathir mendakwa pemilihan Anwar sebagai Perdana Menteri ketika ini berlaku secara kebetulan dan bukan dengan sokongan penuh daripada rakyat.
Dalam kenyataan tersebut, beliau juga mencabar Anwar untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) serta-merta bagi membuktikan sokongan rakyat terhadap kepimpinannya.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Awang berkata, desakan itu disifatkan sebagai sesuatu yang tidak rasional dan hanya bersifat emosional.
"Tugas membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya adalah tugas kuasa Agong untuk memutuskannya, bukan Anwar.
"Kemudian, jika Anwar bawa cadangan tersebut, ia tentu dianggap tidak logik. Sebabnya kita baru sahaja mengadakan pilihan raya pada dua tahun lepas.
"Belum genapkan pun tempoh matang (empat tahun) pemerintahan kerajaan kali ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram