NAMPAKNYA isu taraf pendidikan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB), Selangor menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Ia selepas timbul dakwaan menyatakan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mengemukakan sijil palsu.
Menerusi poster pilihan raya yang diedarkan kepada umum, Khairul Azhari dikatakan memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 dan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 2021.
Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar menyifatkan taraf pendidikan Khairul Azhari ‘terlampau hebat’ disebabkan beliau memperoleh diploma dan ijazah dalam tempoh dua tahun sahaja.
Pertikaian itu bagaimanapun selesai selepas Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengesahkan sijil Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dimiliki calon berkenaan.
Tidak berakhir di situ, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bertindak mencabar calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao agar menunjukkan kelulusan pendidikan rendah dan menengahnya.
Sock Tao bagaimanapun tidak menunggu lama sebelum memutuskan untuk 'menayangkan' keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperolehnya.
Keputusan sijil UPSR Sock Tao yang dikongsikan di Facebook miliknya.
Menerusi gambar yang dikongsikan di Facebook, bekas setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu memperoleh 7A bagi UPSR semasa bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) On Pong Ampang, Hulu Langat, Selangor.
Sementara itu, Sock Tao, 31, turut mendapat keputusan cemerlang iaitu 10A dalam SPM ketika berada di Sekolah Menengah (SM) Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan pada tahun 2010.
“Yang Berhormat (YB) Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bertanya tentang UPSR dan SPM saya. Inilah jawapannya.
"Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang dicurahkan dalam mendidik saya," katanya pada Isnin.
Keputusan sijil SPM Sock Tao yang dikongsikan di Facebook miliknya.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mula mendesak agar Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS pula mempamerkan sijil pendidikannya.
"YB Pasir Mas pun sebenarnya nak tunjuk juga keputusan peperiksaan dia. Itu pasal dia cabar orang lain suruh tunjuk.
"Sekarang apabila calon PH dah tunjuk pencapaian akademiknya, tiba giliran YB Pasir Mas pula yang tunjuk," ciap @Jaoyen_nakal.
"Mungkin Ahli Parlimen Pasir Mas boleh tunjuk keputusan UPSR dan SPM beliau, termasuk sijil calon PN lah, boleh?
"Nak cabar orang baik tunjuk sikit teladan diri dulu! Itu pun kalau berani lah," kata @davidwong27.
Untuk rekod, PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram