39,654 pencari kerja berjaya peroleh pekerjaan menerusi portal MyFutureJobs dalam tempoh 3 bulan lebih


  • Massa
  • Selasa, 30 Apr 2024

Karnival Kerjaya MYFutureJobs KESUMA Madani bersempena Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya menawarkan lebih 10,000 jawatan kosong.

SERAMAI 39,654 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan menerusi portal pekerjaan MyFutureJobs kendalian Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak Januari hingga 5 April ini.

Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, usaha membantu rakyat dalam mendapatkan pekerjaan turut digandakan menerusi pelaksanaan Program Bina Kerjaya 2.0 dan Program Daya Kerjaya 2.0 di bawah Belanjawan 2024 yang telah disalurkan kepada PERKESO.

Justeru, beliau mengambil kesempatan tersebut untuk menyeru pencari kerja dan majikan agar tidak melepaskan peluang memanfaatkan program yang disediakan.

"Antara inisiatif lain yang dilaksanakan PERKESO dalam membuka minda generasi masa hadapan Malaysia berkaitan kerjaya di peringkat akar umbi adalah melalui Program MYFutureJobs Career Exploration.

"Ia dilaksanakan khas bagi pelajar sekolah menengah bagi melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah meliputi persediaan sebelum memasuki universiti dan alam pekerjaan.

"Bermula 2023 sehingga kini, sebanyak 82 sekolah telah menyertai program ini dengan kehadiran seramai 7,663 murid.

"Saya percaya pelajar akan lebih celik dan bersedia sebelum menempuh alam pekerjaan," katanya.

BACA LAGI: Enam inisiatif PERKESO pemangkin pertumbuhan pekerjaan baharu, rungkai kelompangan jaringan perlindungan sosial

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs KESUMA Madani bersempena Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Selasa.

Tambah beliau lagi, PERKESO komited dalam memastikan setiap lapisan masyarakat diberi pendedahan dan advokasi berkaitan kerjaya terutamanya golongan mahasiswa menerusi Program MYFutureJobs Career Launchpad.

"Program yang bertujuan memberi persediaan transisi untuk pelajar universiti ke alam kerjaya terbahagi kepada tiga siri iaitu untuk siri pertama, peserta akan didedahkan dengan jaringan keselamatan sosial dan penciptaan profil kerjaya MYFutureJobs.

"Siri kedua pula, bengkel kerjaya dan eksplorasi kerjaya akan dilaksanakan kepada peserta dan bagi siri ketiga, sesi temu duga bersama majikan yang bersesuaian dengan taraf pendidikan dan industri peserta.

"Setakat Mac 2024, sebanyak 34 program MYFutureJobs Career Launchpad dijalankan dengan penglibatan seramai 1,941 peserta," ujarnya.

BACA LAGI: PERKESO Prihatin jadi platform dekati pencarum

Jelas Subahan, usaha yang diambil kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dilihat begitu komited untuk membantu setiap pekerja mencari pekerjaan.

"Kami sangat menghargai sokongan dan komitmen kementerian dalam membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan seiring dengan tekad 3K Kesuma iaitu Kemahiran, Kebajikan dan Keberhasilan Pekerja.

"Malah karnival ini juga merupakan satu inisiatif daripada PERKESO dan kerjaan untuk membantu anak muda mengembangkan karier mereka," katanya.

Karnival Kerjaya MYFutureJobs Kesuma Madani bersempena Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya menawarkan lebih 10,000 jawatan kosong.

Karnival itu akan turut diadakan di beberapa negeri iaitu Kelantan (4 hingga 5 Mei), Johor (5 Mei) dan Sarawak (18 hingga 19 Mei). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram