MALAYSIA mencatatkan penurunan kadar ketidakpadanan pekerjaan graduan yang signifikan kepada 18.2 peratus untuk tahun 2023 berbanding 40.5 peratus pada tahun sebelumnya, menurut data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Pada masa sama, kadar pengangguran terkini negara dilihat semakin baik dan stabil pada kadar 3.3 peratus berbanding Mei 2020 (5.3 peratus) ketika negara dilanda Covid-19.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi PERKESO mendapati penurunan sebanyak 22.3 peratus bagi graduan ditempatkan dalam kumpulan pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah adalah hasil inisiatif berterusan agensi.
Menurutnya, usaha berterusan itu didorong inisiatif Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan dengan sokongan Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs membantu menempatkan graduan di kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi.
"Pelbagai inisiatif dilakukan termasuk program intervensi awal ke arah kerjaya di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menerusi penubuhan Pusat Satelit MYFutureJobs di IPT dan penganjuran Program Career Launchpad (CLP) bagi memacu kebolehpasaran graduan sebelum mereka memasuki alam pekerjaan.
“PERKESO turut memperluas fungsi Portal MYFutureJobs dengan menawarkan jawatan kosong bagi tujuan latihan industri untuk membantu pelajar mendapat penempatan.
"Sejak 2023 hingga Mac lalu, sebanyak 64,836 kekosongan jawatan untuk latihan industri telah ditawarkan,” katanya kepada media pada Selasa.
Tambahnya lagi, KESUMA terus memanifestasikan keberhasilannya melalui inisiatif yang holistik serta inklusif bagi memperkasakan pasaran buruh negara dalam rangka memerangi masalah pengangguran, yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran, penempatan pekerja, penyediaan bantuan kewangan segera dan lain-lain.
Menurut Abdul Rahman, berdasarkan perangkaan PERKESO bagi tempoh 2018 hingga suku pertama 2024, seramai 259,754 pekerja telah diluluskan untuk menerima bantuan kewangan segera melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan 80,521 pekerja yang kehilangan pekerjaan telah kembali ke alam pekerjaan serta 19,149 individu layak menghadiri latihan vokasional.
“Manakala bagi program Return To Work (RTW) yang dilaksanakan oleh PERKESO bagi membantu peserta yang cedera atau menghidapi penyakit untuk pulih dan kembali bekerja seramai 56,698 peserta telah kembali bekerja sejak 2017 hingga suku pertama 2024.
“Sementara itu sehingga minggu pertama April 2024, seramai 11,101 personel Program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) bertujuan untuk mengintegrasikan kumpulan sasaran ke dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC), dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) melalui penawaran pekerjaan jangka pendek telah mendapat pekerjaan sejak inisiatif ini diletakkan di bawah tanggungjawab KESUMA menerusi PERKESO pada Disember tahun lalu,” jelas beliau lagi.
Pada masa sama, beliau turut menyeru oarang awam untuk mengambil kesempatan mencari peluang pekerjaan sempena festival ini.
"Saya nampak banyak pekerjaan kosong. Jangan lepaskan peluang sama ada yang sedang mencari peluang pekerjaan mahupun yang ingin menukar kejaya sedia ada," katanya.
Terdahulu dalam Belanjawan 2024, kerajaan telah memperuntukkan RM35 juta untuk Program Bina Kerjaya 2.0 dengan 5,447 permohonan diterima setakat minggu pertama Aprill alu dan seramai 2,525 permohonan individu diluluskan untuk menghadiri latihan yang menawarkan kursus latihan untuk meningkatkan kemahiran melalui penggajian microcredential, pensijilan profesional, dan kompetensi dengan pembiayaan sehingga RM4,000, disertai dengan elaun kepada peserta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram